1,000 bungkus air, 80 kg daun ketum, Tiga lelaki ditahan

BALIK PULAU, 2 Dis -- Pendapatan lumayan dengan memperoleh ribuan ringgit sehari hasil penjualan air ketum menyebabkan tiga lelaki sanggup mengambil risiko dengan menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum di dua rumah di Permatang Damar Laut, di sini.
0
216

BALIK PULAU, 2 Dis — Pendapatan lumayan dengan memperoleh ribuan ringgit sehari hasil penjualan air ketum menyebabkan tiga lelaki sanggup mengambil risiko dengan menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum di dua rumah di Permatang Damar Laut, di sini.

Bagaimanapun, kegiatan mereka berjaya dibongkar polis hasil risikan dan intipan dijalankan sejak seminggu lepas, setelah menyerbu dua rumah itu kira-kira pukul 1.50 pagi Sabtu serta menahan tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun dan seorang lelaki warga Nepal berumur 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. A Anbalagan berkata hasil pemeriksaan polis menemui 1,000 bungkusan dengan anggaran 500 liter cecair dipercayai ketum yang siap diproses dalam 12 tong ais besar dipercayai untuk dihantar kepada pelanggan.

“Polis turut merampas 16 bungkusan plastik hitam mengandungi 80 kilogram daun ketum yang belum diproses dipercayai dibeli daripada pembekal di Kedah dan pelbagai peralatan memproses air ketum antaranya lima periuk besar, dapur gas, tong gas, alat penimbang serta kayu pengacau,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dua rumah berkenaan disewa tiga lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu untuk menjalankan kegiatan memproses dan membungkus air ketum sejak tiga bulan lepas.

Anbalagan berkata mereka menggajikan lelaki Nepal yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri itu dengan bayaran RM50 sehari untuk menjaga dua rumah berkenaan dan membantu proses memasak air ketum.

“Siasatan mendapati tiga lelaki itu menjual air ketum yang telah siap diproses di sekitar Batu Maung dan Bayan Lepas dengan harga RM5 hingga RM10, dipercayai mereka mampu menjual sehingga 1,000 bungkusan setiap hari kerana mendapat permintaan yang tinggi sebab itu mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit,” katanya.

Beliau berkata lelaki berumur 24 tahun yang juga ketua geng itu sebelum ini pernah ditahan kerana kesalahan yang sama dan dia juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Katanya, semua daun dan air ketum yang dirampas dalam serbuan tersebut bernilai RM7,000 dan empat lelaki itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 30(5) Akta Racun 1952.

Sementara itu, Anbalagan berkata sehingga hari ini, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya telah menahan 1,384 orang kerana pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan 23 daripadanya ditangkap menurut Langkah-Langkah Pencegahan Khas manakala 60 penagih tegar didakwa menurut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Leave a reply