13 manifesto utama Warisan ditunai secara berperingkat

Sebanyak 13 manifesto utama yang dijanjikan oleh pihak kerajaan negeri sudah dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut keperluan yang menjadi keutamaan rakyat di negeri ini.
0
249
Sebanyak 13 manifesto utama yang dijanjikan oleh pihak kerajaan negeri sudah dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut keperluan yang menjadi keutamaan rakyat di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu manisfesto Parti Warisan Sabah (WARISAN) banyak menjurus kepada kepentingan rakyat dan masalah yang timbul disuarakan oleh rakyat ketika itu.
“Oleh itu, selama 20 bulan memerintah kita berusaha untuk memenuhi manifesto berkenaan dan setakat ini pihak kerajaan sudah melaksanakan setiap hala tuju dan perancangan itu secara berperingkat-peringkat,” katanya.
Beliau berkata, sebagai usaha untuk merealisasikan setiap perancangan itu, pihak kerajaan terlebih dahulu membuat susun atur setiap pentadbiran dalam jabatan-jabatan kerajaan supaya ianya boleh menjalankan amanah mengikut kepakaran masing-masing.
“Pegawai yang dilantik harus memenuhi kreteria didalam jawatan yang dipegangnya supaya setiap pembangunan yang dirancang oleh pihak kerajaan dilaksanakan mengikut spesifikasi yang betul dan tepat,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, pihak kerajaan juga sudah selesai mengatur penjawatan didalam jabatan kerajaan termasuk menaikkan pangkat dan melakukan perpindahan di kalangan kakitangan awam.
“Setakat ini lebih 1,000 kakitangan awam yang sudah dinaikkan pangkat mengikut kelayakan dan ini menjadi sejarah kerana tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, banyak lagi yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan termasuklah meluluskan pertambahan majlis daerah penuh antaranya daerah Kalabakan dan Telupid.
“Begitu juga soal pendidikan anak-anak Sabah yang mana kita tidak mahu lagi ada diantara mereka tercicir disebabkan kekangan kewangan dan kerajaan akan kembalikan peranan Yayasan Sabah supaya boleh membantu anak-anak yang mahu melanjutkan pelajaran.
“Tidak dilupa juga mewujudkan peluang-peluang pekerjaan melalui industri hiliran seperti yang sudah berjaya dilaksanakan baru-baru ini dengan membina kilang minyak masak Sabah. Usaha ini supaya anak-anak muda tidak lagi perlu berhijrah ke Semenanjung mencari pekerjaan.
“Malah, banyak lagi yang sudah dilaksanakan oleh pihak kerajaan tanpa disedari oleh masyarakat selama diberi mandat memimpin kerajaan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Semporna Seafest Group di sini semalam.
Mengulas mengenai majlis ini, Jaujan berkata majlis yang dilaksanakan oleh pihak Semporna Seafest Group sangat bertepatan dan bermanfaat kerana telah melibatkan semua suku kaum dan agama di negeri ini.
“Dengan adanya sambutan seperti ini membuktikan rakyat Sabah cukup kukuh perpaduannya dan perlu dikekalkan supaya pihak yang mahu memecah belahkan perpaduan gagal meneruskan agendanya,” katanya.
Menurutnya, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Shafie Apdal pernah berkata antara yang bernilai di bumi Sabah bukan sahaja sumber kekayaan buminya tetapi sikap masyarakatnya yang hormat-menghormati dan hidup bersatu-padu.
“Inilah yang dituntut oleh pihak kerajaan, sikap tolak ansur masyarakat perlu dijadikan keutamaan supaya apa sahaja agenda kerajaan termasuk ekonomi, kesejahteraan dan keselamatan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya Datin Manis Muka Dara, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Koh Kian Leong, Pengerusi Seafest Sdn Bhd Datuk Chua Ching Wah dan isteri Datin Lim Siow Moi serta Pengarah Seafest Sdn Bhd Jane Chua.

Comments are closed.