239 KES ‘BOM IKAN’ DI SABAH, 36 KES SUDAH DIDAKWA

Sebanyak 239 kes menangkap ikan menggunakan ‘bom ikan’ direkodkan sejak 2014 dengan kes tertinggi berlaku di perairan Sabah.
0
298

KUALA LUMPUR: Sebanyak 239 kes menangkap ikan menggunakan ‘bom ikan’ direkodkan sejak 2014 dengan kes tertinggi berlaku di perairan Sabah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, berkata sebanyak 36 kes daripada jumlah itu sudah didakwa di mahkamah.

“Penggunaan bahan letupan untuk menangkap ikan di laut boleh memusnahkan batu karang yang menjadi habitat hidupan laut membiak. Kegiatan ini adalah salah di sisi undang-undang dan menjejaskan sumber perikanan.

“Mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985, kaedah menangkap ikan menggunakan bom ikan adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Hassan (WARISAN-Papar) mengenai tindakan yang diambil terhadap nelayan menggunakan bom ikan untuk menangkap ikan di laut.

Menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai langkah diambil kerajaan untuk mengekang kegiatan itu, Tze Tzin menjelaskan pihaknya berdepan cabaran disebabkan faktor penguatkuasaan.

“Sebenarnya memang kita membuat penguatkuasaan berterusan namun berdepan kekangan kerana laut itu luas, ada yang melakukan aktiviti itu waktu malam dan jauh di tengah laut,” katanya.

Leave a reply