4 Kapal Dari China Berlabuh Tanpa Kebenaran Ditahan

Dua lelaki warga China ditahan manakala empat kapal dari negara itu yang di bawah jagaan mereka disita kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 0.35 batu nautika dari Jeti Asian Base, di sini, lebih kurang pukul 11.30 pagi semalam.
0
355

Dua lelaki warga China ditahan manakala empat kapal dari negara itu yang di bawah jagaan mereka disita kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 0.35 batu nautika dari Jeti Asian Base, di sini, lebih kurang pukul 11.30 pagi semalam.

Pengarah  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, kapal-kapal itu gagal meminta kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut sebelum berlabuh.

Empat kapal yang memiliki nombor pendaftaran dari Negara China ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran.

“Kapal-kapal berkenaan dikendalikan dan dijaga oleh dua orang kru warganegara China sebagai penjaga bagi keempat-empat kapal tersebut.

“Operasi ini juga melibatkan Majlis Keselamatan Negara Labuan serta Jabatan Kesihatan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kapal-kapal tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B (1)(i) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.

“Jika didapati bersalah, pemilik kapal-kapal tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada semua komuniti maritim bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan aktitivi menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

“Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa,” katanya.

Comments are closed.