80% PATI Terima IC Melalui Rasuah,Madius

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan terus memberi penekanan khusus terhadap urus tadbir kewarganegaraan di Sabah sehingga isu pendatang asing tanpa izin (PATI) mendapat penyelesaian tuntas.
0
51

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan terus memberi penekanan khusus terhadap urus tadbir kewarganegaraan di Sabah sehingga isu pendatang asing tanpa izin (PATI) mendapat penyelesaian tuntas.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO akan terus bertindak lebih agresif bagi menyelesaikan kepincangan yang wujud dalam urus tadbir kewarganegaraan di negeri ini.

“Kami sedar bahawa banyak isu rasuah dan korupsi dalam agensi-agensi terlibat dalam urusan kewarganegaraan dan ini mendatangkan pelbagai masalah kepada rakyat. Oleh itu, kami tidak boleh lagi mengabaikan masalah ini daripada terus berlanjutan.

“Selama ini, UPKO memang prihatin dengan kadar pertumbuhan penduduk Sabah yang sangat luar biasa. Kebanjiran PATI perlu ditangani dengan penuh integriti, budaya sivik dan kesungguhan demi kepentingan semua yang terlibat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula UPKO melalui siaran Facebook Live, di sini hari ini.

Menurutnya, jika dilihat pertumbuhan penduduk Sabah pada 1970 adalah seramai 636,431 berbanding dengan 976,269 orang penduduk Sarawak.

Namun dalam masa empat dekad, tiba-tiba pada 2010, penduduk Sabah mengatasi jumlah penduduk Sarawak sebanyak 700,000, iaitu dengan total keseluruhan sebanyak 3.12 juta bagi Sabah dan 2.42 juta bagi Sarawak, sedangkan pada tahun 1970, penduduk Sarawak mengatasi jumlah penduduk dari Sabah sebanyak 339,838.

Timbalan Ketua Menteri ini berkata, pertumbuhan penduduk yang luas biasa di Sabah ini dapat dilihat melalui laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah. Pelbagai salah laku, salah-guna kuasa dan perbuatan rasuah telah dinyatakan oleh pelbagai saksi dalam pendengaran awam RCI tersebut.

Malah, kajian UPKO tentang perkara ini juga membuktikan bahawa terdapat lebih 80 peratus PATI telah mendapat Kad Pengenalan (IC) secara rasuah. Pengakuan responden tersebut boleh didapati di laman web UPKO.

Mengulas tentang usaha mengurangkan kos perniagaan di Sabah, Menteri Perdagangan dan Perindustrian ini berkata, langkah menarik pelaburan yang berkualiti ke Sabah akan diperhebatkan bagi meningkatkan ekonomi di negeri ini.

Dalam masa sama, UPKO akan mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan pelabur bagi industri hiliran kerana pelbagai sumber terdapat di Sabah. Promosi ini akan dilakukan dengan menggunakan pendekatan kedudukan geografi Sabah yang terletak antara Selat Lombok-Makasar.-

Comments are closed.