Abu Syafiq fail dua saman termasuk untuk Amin Idris

Pendakwah bebas dikenali sebagai Abu Syafiq memfailkan saman terhadap Amin Idris selepas personaliti televisyen terbabit enggan membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam kenyataan didakwa berbaur fitnah.
0
99

Pendakwah bebas dikenali sebagai Abu Syafiq memfailkan saman terhadap Amin Idris selepas personaliti televisyen terbabit enggan membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam kenyataan didakwa berbaur fitnah.

Peguam mewakili Abu Syafiq, Nurul Hafidzah Hassan, mengesahkan saman ke atas Amin dan seorang individu lain yang tidak didedahkan identitinya difailkan di mahkamah Sesyen Shah Alam dan Kuantan hari ini.

Menurut peguam dari firma NHA Advocates and Solicitors itu Amin disaman atas dakwaan memuat naik kenyataan memusnahkan jenama peribadi, imej dan reputasi Abu Syafiq.

“Anak guam kami, Abu Syafiq, memfailkan saman fitnah terhadap Amin Idris dan individu tersebut kerana memfitnah.

“Ianya dilakukan oleh defendan-defendan tersebut yang telah menerbit dan menyiarkan kenyataan-kenyataan palsu dan fitnah mengenai anak guam kami,” katanya.

Dalam notis tuntutan yang diserahkan 24 April lalu, Amin dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka selain membayar pampasan berjumlah RM1 juta dalam tempoh seminggu kerana didakwa menjatuhkan reputasinya di media sosial.

Bagaimanapun, Amin melalui akaun Facebook miliknya bertegas tidak akan tunduk dengan tuntutan Abu Syafiq malah mencabar pendakwah bebas terbabit untuk meneruskan samannya tanpa perlu menunggu tempoh tujuh hari yang diberikan kepadanya berakhir.

Amin, 39, sebelum itu memuat naik kenyataan melalui akaun Facebook ekoran kecaman Abu Syafiq ke atas seorang lagi pendakwah bebas iaitu Ebit Lew.

Perkongsian Amin itu menjadi tular sebaik ia dimuat naik ke media sosialnya.

Mengulas lanjut, Nurul Hafidzah berkata, saman tersebut bertujuan melindungi reputasi Abu Syafiq, selain agar kedua-dua defendan bertanggungjawab terhadap kenyataan mereka.

Katanya, ia juga untuk membuktikan kebenaran bahawa Abu Syafiq tidak bersalah dan tidak melakukan seperti apa yang didakwa oleh defendan.

Katanya sebelum mengambil keputusan untuk menyaman, Abu Syafiq berusaha untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tetapi kedua-dua mereka enggan meminta maaf.

Comments are closed.