Ada ketua Armada bahagian nafi buat kenyataan tolak PH

Beberapa ketua Pemuda Bersatu (Armada) bahagian menafikan terlibat dalam satu "kenyataan bersama" yang dikatakan menunjukkan majoriti ketua Armada di peringkat bahagian tidak setuju dengan ketetapan Armada pusat yang mahu parti itu memutuskan kerjasama dengan Umno dan kembali kepada PH.
0
80

Beberapa ketua Pemuda Bersatu (Armada) bahagian menafikan terlibat dalam satu “kenyataan bersama” yang dikatakan menunjukkan majoriti ketua Armada di peringkat bahagian tidak setuju dengan ketetapan Armada pusat yang mahu parti itu memutuskan kerjasama dengan Umno dan kembali kepada PH.

Ketika dihubungi media, mereka menyatakan rasa terkejut apabila nama mereka disertakan dalam kenyataan tersebut memandangkan ia tidak dibincang terlebih dulu.

Ada juga yang membangkitkan beberapa kesilapan pada kenyataan itu, misalnya kesilapan ejaan nama.

Ketua Armada Gerik Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata beliau tidak tahu-menahu berkenaan kenyataan itu sebelum ia dikeluarkan.

“Tiada siapa yang membincangkan apa-apa dengan saya berkenaan kenyataan itu. Ejaan nama saya pun salah,” katanya.

Ketua Armada Kota Marudu Kamarul Anuar Ahmad juga berkata terkejut apabila namanya dimasukkan dalam senarai itu, dan menyebut tentang kesilapan ejaannya.

Beberapa ketua Armada bahagian di Sabah turut menyatakan perkara sama walau nama mereka juga tersenarai. Mereka ialah Fairuz Renddan (Kota Belud), Mohd Fakhruz Zaman (Kota Kinabalu), Johainizamshah Johari (Kinabatangan) dan Rafie Robert (Keningau).

“Kami tidak sahkan kenyataan itu. Saya baru nampak senarai nama itu tengah hari tadi apabila ia ditularkan dalam kumpulan Whatsapp,” kata Rafie.

Menurut Rafie, beliau mengesyaki anggota exco Armada tertentu sebagai pihak di belakang perkara ini. Malaysiakini telah menghubung anggota exco tersebut untuk mengulas perkara ini.

Ketua Armada Sarawak Alexander Frusis pula berkata, beliau dan lapan lagi ketua Armada bahagian di negeri itu tidak dirunding terlebih dahulu sebelum nama mereka disertakan.

“Ini lebih kepada isu populariti,” katanya yang turut menyebut tentang anggota exco tersebut dan pemilihan parti akan datang.

Ketua Armada Kepala Batas Muhammad Khairi Zainol Abidin, yang namanya disebut dua kali dalam senarai itu, juga berkata tidak tahu tentangnya sebelum kenyataan itu disebarkan kepada awam.

“Saya tidak dimaklumkan berkenaan apa-apa kenyataan bersama,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, para ketua Armada bahagian dikatakan mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi membantah keputusan kepimpinan pusat sayap itu yang menolak kerjasama dengan Umno dan mahu kembali bekerjasama dengan PH.

Menurut kenyataan itu, ia ditandatangani oleh 143 ketua Armada bahagian, mewakili hampir tiga per empat daripada keseluruhan 191 bahagian Bersatu.

Armada pusat, ketika menyatakan keputusan untuk kembali bekerjasama dengan PH, mendakwa ia disokong dua pertiga daripada anggota mesyuarat, yang dihadiri exco dan ketua Armada negeri.

Isu ini di tengah-tengah perpecahan dalaman Bersatu, antara pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dan presiden Muhyiddin Yassin, dengan pemilihan parti yang semakin hampir.

Comments are closed.