Alasan kerja konon, 4 lelaki kena kompaun, diarah patah balik

CHUKAI: Mereka sudah melepasi tiga sekatan jalan raya (SJR) tetapi tembelang mereka tidak dapat bertahan di lokasi keempat di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Perasing di sini pagi semalam, apabila semakan polis mengenal pasti surat tawaran kerja mereka adalah palsu.
0
75

CHUKAI: Mereka sudah melepasi tiga sekatan jalan raya (SJR) tetapi tembelang mereka tidak dapat bertahan di lokasi keempat di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Perasing di sini pagi semalam, apabila semakan polis mengenal pasti surat tawaran kerja mereka adalah palsu.

Akibatnya, empat lelaki berkenaan berusia 20 hingga 37 tahun yang membuat perjalanan rentas negeri dari Selangor ke Besut, Terengganu dan seterusnya ke Kelantan ketika ditahan di SJR itu jam 9.15 pagi, bukan saja dikompaun malah diarah berpatah balik.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan, berkata mereka yang membuat perjalanan dalam sebuah Proton Persona mendakwa sudah berjaya melepasi tiga SJR di Kajang, Gombak dan Bentong dengan menggunakan surat tawaran bekerja terbabit.

Sepasukan pegawai dan anggota yang melakukan pemantauan dan bertugas di SJR antara negeri itu menahan kereta terbabit sebelum meminta surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan polis.

Mereka mendakwa tidak mempunyai surat kebenaran terbabit dan siasatan kemudiannya mendapati pemandu kereta yang berusia 37 tahun itu mengaku dia bertugas menghantar tiga lelaki berkenaan ke Besut dan Kelantan.

“Pemandu terbabit mengaku terima upah RM350 untuk menghantar tiga lelaki terbabit dan mengaku ditunjukkan surat tawaran bekerja daripada tiga lelaki itu sebagai alasan perjalanan mereka.

“Anggota polis kemudiannya memeriksa surat tawaran terbabit dan selepas membuat semakan mendapati alamat tempat kerja yang tertera pada surat itu tidak wujud,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata, semua mereka mengaku surat terbabit palsu dan dibuat oleh abang kepada rakan mereka.

Comments are closed.