Anwar ‘Gila-Gila’ Nak Jadi PM, Kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai punca beliau tidak dilantik sebagai perdana menteri ke-8.
0
468

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai punca beliau tidak dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

Beliau berkata, Anwar tidak dapat menjadi perdana menteri kerana ramai yang tidak lagi menyokongnya.

“Anwar memang dia gila-gila nak jadi PM, dia tak boleh jadi (PM) pasal entah macam mana kalau dulu ramai sokong dia, sekarang ini ramai sokong saya.”

Mahathir berkata demikian dalam mesyuarat tertutup dengan pemimpin akar umbi Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini yang disiarkan secara langsung di Facebook Amanah.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin lalu supaya Anwar dapat membuktikan beliau mempunyai sokongan untuk menerajui negara.

“Kalau orang nak saya, nak saya bertanding, saya dapat balik, tetapi Anwar fikir dia boleh dapat balik.

“Saya amat sedih kerana saya kalah dalam pemilihan ini kerana dia minta pada PH supaya namakan dia sebagai calon (PM) PH.

“Kalau tak, saya dah dapat 90 undi dan tambah 60 undi, saya boleh dapat majoriti jadi (PM) kerana dia tuntut untuk jadi calon, walaupun dia sepatutnya tak boleh dapat, tetapi dia tuntut.”

Pagi tadi, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 selepas mendapat sokongan daripada Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak, beberapa ahli Parlimen dari PPBM dan PKR.

Semalam, PH yang diwakili PKR, DAP dan Amanah mencalonkan semula Mahathir sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, Agong menggunakan kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8 selepas menemui ahli Parlimen dan blok politik yang menyerahkan senarai wakil rakyat menyokong mereka.

Hari ini, Mahathir berkata, setiausaha politiknya memberitahu rancangan Anwar menuntut dirinya dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Feb lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak berlaku, sebaliknya Anwar dan pemimpin PH menyokong beliau kekal sebagai perdana menteri.

Katanya, tindakan Muhyiddin mencari sekutu baru ialah punca tercetusnya krisis politik selama seminggu yang menyebabkan perpecahan PH.

Sementara itu, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau menyertai parti itu untuk membersihkan amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam politik.

Bekas menteri belia dan sukan itu tidak bersetuju dengan tindakan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan blok pembangkang, termasuk Umno.

“Saya membuat pendirian ini kerana tak ingin bersekongkol dengan pemimpin rasuah.

“(Jika) tindakan diambil ke atas saya, biarlah kerana saya percaya dan berpegang teguh berani kerana benar.” – FMT

Comments are closed.