Balung Dijadikan Pusat Pemulihan CCRC

Balung lokasi paling strategik untuk pembinaan Pusat Pemulihan Cure And Care (CCRC) yang dirancang oleh kerajaan negeri sebelum ini.
0
182

TAWAU: Balung lokasi paling strategik untuk pembinaan Pusat Pemulihan Cure And Care (CCRC) yang dirancang oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, sebelum ini cadangan pembinaan CCRC dirancang dibina di daerah Kalabakan.

“Selain daripada kedudukannya yang jauh dari bandar Tawau, struktur tanah di kawasan cadangan di Kalabakan juga dikenal pasti tidak sesuai untuk pembinaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Makan Malam AADK di perkarangan Pejabat AADK, di sini, semalam.

Menurutnya, kawasan cadangan di Balung sesuai kerana sangat strategik selain kedudukannya di tepi jalan ianya juga terletak berdekatan dengan daerah lain seperti Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

“Kita sudah berbincang dengan kerajaan negeri untuk memindahkan pembinaan CCRC di kawasan Balung kerana dilihat lebih sesuai dengan keperluan daerah-daerah lain.

“Kita menjangkakan dengan kapasiti tanah seluar 30 ekar itu pusat pemulihan yang akan dibina mampu menempatkan hingga 300 penghuni dalam satu-satu masa,” katanya.

Mengulas lanjut, terdapat juga keperluan membina pusat pemulihan untuk golongan wanita di negeri ini kerana belum ada pembinaan yang khusus dibuat untuk golongan itu.

“Kita mencadangkan pusat pemulihan sementara wanita akan dibuat di daerah Keningau supaya pesalah itu tidak perlu lagi dihantar ke Semenanjung untuk menjalani rawatan.

“Sebab kita sedia maklum, apabila pesalah dibawa ke Semenanjung, pihak keluarga sukar untuk menziarahi mereka dan sekaligus menyukarkan proses penyembuhan kerana tiada sokongan daripada keluarga,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 30 pusat serenti dibina di seluruh negara iaitu 20 adalah pusat tahanan mandatori dan 10 pusat lagi merupakan pusat pemulihan sukarela.

Untuk negeri Sabah terdapat empat pusat perkhidmatan pemulihan yang ditempatkan di Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan dan Semporna.

 

Leave a reply