Bekas Peguam Negara tidak perlu politikkan kes Riza Aziz

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Thommy Thomas perlu berhenti mempolitikkan keputusan kes Riza Shahriz Abdul Aziz yang dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan wang haram dengan penyelesaian bernilai RM465.3 juta.
0
86

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Thommy Thomas perlu berhenti mempolitikkan keputusan kes Riza Shahriz Abdul Aziz yang dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan wang haram dengan penyelesaian bernilai RM465.3 juta.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, beberapa kenyataan Thommy jelas menunjukkan beliau membelakangkan landasan perundangan dan sekadar mahu menjadi tukang karut politik Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, ketika menjadi Peguam Negara, Thommy telah bersetuju supaya perundingan menerusi surat representasi ini dilaksanakan dan telah meminta pandangan daripada Timbalan Pendakwaraya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

“Free Malaysia Today melaporkan minit Thommy kepada Gopal Sri Ram antara tertera ‘Berdasarkan kenyataan di perenggan 5.10, 5.14, 5.15, 5.18 dan 5.19, saya sedia mempertimbangkan rundingan ini. Perenggan 5.20 mengandungi syarat penyelesaian yang dicadangkan. Saya tunggu nasihat anda.’

“Minit ini jelas menunjukkan Thommy bersedia mengadakan penyelesaian tanpa melalui perbicaraan penuh,” kata Nazir Hussin dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, Riza dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 5 Julai tahun lalu, Riza, 43, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem The Wolf of Wall Street itu didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1,173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Nazir Hussin berkata, jika Thommy mahu meneruskan kes tersebut tanpa sebarang rundingan dan persetujuan luar perbicaraan, sudah tentu beliau akan menolak surat representasi peguam Riza tanpa sebarang keperluan meminta Gopal Sri Ram mempertimbangkannya.

“Namun keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam kes ini jelas lebih bermaruah berbanding cara AGC mengendali kes Lim Guan Eng. Riza tidak dilepaskan dan dibebaskan begitu sahaja. Beliau dikenakan denda sebanyak RM465.3 juta yang mungkin denda paling tinggi dalam sejarah perundangan negara.

“Sudah tentu jauh berbeza dengan keputusan AGC di bawah Thommy yang telah menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng ketika sedang dibicarakan,” katanya.

Comments are closed.