Bersatu bakal pecat Dr M?

Seorang anggota Majlis Tertinggi Bersatu hari ini menafikan desas-desus bahawa mesyuarat dengan agenda memecat pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad akan diadakan pada hujung minggu ini.
0
50

Seorang anggota Majlis Tertinggi Bersatu hari ini menafikan desas-desus bahawa mesyuarat dengan agenda memecat pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad akan diadakan pada hujung minggu ini.

Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menolak spekulasi itu sebagai “tidak masuk akal” memandangkan keadaan semasa dengan presiden parti dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sedang dikuarantinkan setelah berhubungan rapat dengan seorang pesakit Covid-19.

“Pertama sekali, hanya pengerusi Bersatu iaitu Dr Mahathir sahaja yang boleh memanggil mesyuarat MPT, dan saya tidak rasa beliau akan memanggil untuk mesyuarat semasa Muhyiddin sedang di dalam kuarantin.

“Dan kedua, di satu pihak lagi, adakah Muhyiddin sendiri akan meminta supaya mesyuarat MPT diadakan pada waktu ini semasa beliau sendiri di dalam kuarantin? Rumor ini sendiri adalah tidak logik,” katanya kepada media ketika dihubungi hari ini.

Akhramsyah mengulas laporan berita yang menimbulkan spekulasi bahawa Muhyiddin, yang tidak lagi sehaluan dengan Mahathir walaupun masih bersama Bersatu, meminta agar mesyuarat Majis Tertinggi Bersatu diadakan supaya beliau boleh menyingkirkan Mahathir.

Muhyiddin sedang menjalani kuarantin 14 hari yang bermula pada 22 Mei setelah beliau menghadiri mesyuarat dengan seoarng pesakit Covid-19 dua hari sebelumnya.

Perdana menteri telah diuji negatif untuk virus itu tetapi beliau harus menjalani kuarantin mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurut Akhramsyah, anggota majlis tertinggi perlu dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sesuatu mesyuarat itu diadakan dan agenda juga perlu diberikan supaya mereka dapat membuat persiapan.

Namun, sejauh ini tidak ada makluman seumpama itu, katanya, sambil menambah bahawa surat terakhir yang diterimanya untuk mesyuarat 11 Mei yang telah ditunda setelah laporan berita timbul bahawa ia mungkin rancangan untuk mengetepikan Mahathir dan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir.

“Saya tak rasa Muhyiddin akan buat Zoom meeting untuk panggil mesyuarat MPT untuk pecat Mahathir. Kalau buat ni, macam orang yang bercerai guna SMS,” kata Akhramsyah dalam nada menyindir.

Sementara itu, Akhramsyah juga membidas seorang anggota dewan tertinggi parti itu yang mencadangkan supaya ahli parlimen Bersatu yang duduk bersama pembangkang di persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu dipecat.

Katanya, apa yang diusulkan oleh Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan minggu lalu adalah tidak bertanggungjawab dan hanya memberi gambaran negatif terhadap Bersatu.

“Saya cadangkan supaya Wan Saiful ini bersifat lebih konstruktif jika mahu bercakap, sebab apa yang dia katakan itu tidak masuk akal,” katanya.

Comments are closed.