Bot Karam Sandakan: Anggota PGA Hilang Selepas Selamatkan Mangsa

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) hilang di laut selepas menyelamatkan beberapa mangsa lain daripada lemas dalam kejadian bot karam di kawasan perairan Pulau Kampung Tanjung Aru di sini.
0
357

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) hilang di laut selepas menyelamatkan beberapa mangsa lain daripada lemas dalam kejadian bot karam di kawasan perairan Pulau Kampung Tanjung Aru di sini.

Terdahulu kira-kira pukul 5.40 pagi ini, Asman Ongkal bersama 20 mangsa lain termasuk pelajar sekolah dan orang awam menaiki sebuah bot dari pulau tersebut menuju ke Jeti Pasar Awam Sandakan.

Bagaimanapun perjalanan tersebut bertukar tragedi apabila bot dinaiki karam akibat terlanggar sebuah kapal dagang yang berlabuh di perairan berkenaan.

Berikutan itu, mangsa berusaha menyelamatkan penumpang-penumpang lain untuk dimuatkan ke dalam bot lain yang kebetulan berapa berhampiran.

Namun amat malang apabila mangsa sendiri gagal diselamatkan kerana tenggelam.

Ketika ini, usaha pencarian mangsa sedang giat dilakukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong meninjau keadaan mangsa bot karam di Jeti Pasar Awam Sandakan.

Pasukan perubatan, ambulans, pihak polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kini turut berada di jeti tersebut untuk memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terselamat.

Sementara itu difahamkan, 14 mangsa telah dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent untuk mendapatkan rawatan.

Dua mangsa dikatakan kritikal manakala selebihnya hanya menerima rawatan biasa.

Comments are closed.