Bot karam, syukur dua individu diselamatkan oleh Maritim Malaysia

Dua individu yang berumur dalam lingkungan 35-40 tahun berdepan dengan keadaan getir apabila bot jongkong yang mereka naiki karam, mujur dengan bantuan pantas dari pihak Maritim Malaysia Cawangan Tawau yang sedang membuat rondaan dapat menyelamatkan kedua-dua mangsa.
0
206

Tawau: Dua individu yang berumur dalam lingkungan 35-40 tahun berdepan dengan keadaan getir apabila bot jongkong yang mereka naiki karam, mujur dengan bantuan pantas dari pihak Maritim Malaysia Cawangan Tawau yang sedang membuat rondaan dapat menyelamatkan kedua-dua mangsa.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata, kira-kira jam 5.00 petang, sebuah kapal ronda Maritim Malaysia Tawau yang sedang melakukan Operasi Cegah PATI mengesan terdapat sebuah bot yang mencurigakan berapung berhampiran Sungai Pukol, Pulau Sebatik. Kemudian, Pegawai Memerintah kapal meminta bot ronda Maritim Malaysia yang berada di kawasan sekitar meninjau bot tersebut.”

Katanya, “dengan cuaca buruk dan laut bergelora, setiba di lokasi lebih kurang 1 batu nautika barat laut muara Sungai Pukol. Didapati terdapat 2 individu bersama sebuah bot jongkong hampir tenggelam sepenuhnya. Anggota bot telah menyelamatkan kedua-dua mangsa dan membawa mereka ke kapal ronda Maritim Malaysia lebih kurang jam 5.10 petang.”

Tambah beliau, bot jongkong terbabit bergerak masuk dari Jeti Log Pond menuju ke Jeti Sungai Melayu. Secara tiba-tiba kedua-dua enjin bot mengalami kerosakan dan tidak dapat dihidupkan malah pam mudah alih juga tidak dapat berfungsi bagi mengepam air keluar daripada bot jongkong tersebut. Cuaca buruk dan lautan bergelora menyebabkan air laut masuk dengan cepat dan banyak sehingga bot jongkong itu tidak dapat diselamatkan dan karam.

“Kedua-kedua mangsa tidak mengalami kecederaan. Pemilik menyatakan bahawa jumlah kerugian dialami dianggarkan sebanyak RM 90,000.00, termasuk bot jongkong, dua enjin bot serta barang-barang runcit yang dibawa. Kedua-dua mangsa dibawa pulang ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik kira-kira jam 8.30 malam apabila cuaca kembali tenang.”

Katanya lagi, Daerah Tawau akan menghadapi fasa peralihan monsun dan dijangka berterusan sehingga lewat bulan Mei 2020. Fasa ini tidak mempunyai corak tiupan angin yang konsisten malahan perairan Tawau dijangka menerima tiupan angin yang lemah (iaitu kurang dari 5 knot pada aras permukaan) dan sentiasa berubah arah. Ciri tiupan angin sebegini, manjadikan sebahagian daerah Tawau sebagai kawasan yang kondusif untuk pembentukan awan ribut petir.

Oleh itu, Maritim Malaysia Tawau menyeru kesemua komuniti maritim khususnya di Tawau sentiasa mengutamakan keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, peralatan di dalam bot diselenggarakan dengan baik serta sentiasa mengaturkan perjalanan ke Pulau Sebatik dengan baik.

Comments are closed.