Covid-19: Sabah Buka Lima Pusat Kuarantin

Kerajaan Sabah membuka lima pusat kuarantin di beberapa daerah bagi menempatkan Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) Covid-19 di negeri itu.
0
435

Kerajaan Sabah membuka lima pusat kuarantin di beberapa daerah bagi menempatkan Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) Covid-19 di negeri itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, pusat kuarantin berkenaan sudah mula dibuka sejak 16 Mac lalu.

“Hal ini adalah sebagai salah satu inisiatif selain wad pengasingan di hospital.

“Terdapat lima pusat kuarantin di Sabah, setakat ini, seperti Rumah Rehat Ranau, Rumah Rehat Kinabatangan, Malaysian Palm Oil Board Lahad Datu, Projek Perumahan Rakyat Batu Putih Sandakan dan Kompleks Belia Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan media selepas menghadiri mesyuarat di Pusat Gerakan Covid-19 Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam pada itu, Safar menyatakan barangan keperluan serta makanan di negeri itu tidak terjejas.

“Ia dijangka mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerajaan negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah serta Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KKKR) Sabah sudah melakukan pemantauan.

“Kita dapati semua barang keperluan masih banyak dan belum terdapat sebarang laporan berkaitan gangguan bekalan,” katanya.

Dalam pada itu, Safar berkata, kerajaan negeri juga sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan penguatkuasaan ke atas premis bukan menjual barang keperluan harian mahupun makanan yang tidak menutup operasi.

Comments are closed.