Covid-19: Tidak boleh menjerit naik ‘roller coaster’

Tidak boleh menjerit ketika menaiki roller coaster, menjaga jarak sosial di rumah hantu dan tidak dibenarkan high five dengan adiwira.
0
43

Tokyo: Tidak boleh menjerit ketika menaiki roller coaster, menjaga jarak sosial di rumah hantu dan tidak dibenarkan high five dengan adiwira.

Itu sebahagian kelaziman baharu yang perlu dipatuhi di taman tema di Jepun dalam era pandemik Covid-19.

Beberapa taman hiburan di Jepun mula dibuka apabila pengendali taman tema mengeluarkan panduan bagi memastikan taman itu selamat dikunjungi.

Antara saranan dikeluarkan adalah pengunjung perlu sentiasa memakai pelitup muka dan tidak menjerit terlalu kuat ketika menaiki roller coaster atau mana-mana permainan.

Malah, ‘jembalang’ yang bertugas di rumah hantu juga perlu memastikan jarak selamat dengan mangsa mereka.

Kakitangan taman tema termasuk mereka yang mengenakan kostum maskot haiwan atau adiwira tidak boleh bersalam atau memberikan high five kepada pengunjung kanak-kanak selain memastikan jarak selamat sesama mereka.

Adiwira yang ‘berlawan’ dengan musuh juga perlu mengelakkan mencetuskan situasi yang memerlukan pengunjung menjerit untuk menghalang titisan tersebar di udara.

Panduan itu turut menjelaskan permainan realiti maya tidak boleh dibuka kecuali cermin mata khas yang digunakan disanitasi sepenuhnya.

Pengendali taman tema itu berkata, panduan berkenaan tidak boleh menghalang kes jangkitan Covid-19 tidak berlaku sepenuhnya, namun ia dijangka mengurangkan risiko.

Disneyland Tokyo dan Universal Studios Japan di Osaka ditutup sehingga kini dan belum ada tarikh ditetapkan beroperasi semula.

Comments are closed.