Cubaan Menyeludup Dadah Gagal

Cubaan seorang penghantar makanan menyeludup masuk syabu seberat 5,066.83 gram menggunakan perkhidmatan kurier, di sini, gagal apabila kegiatannnya itu berjaya dihidu penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
0
252

KOTA KINABALU: Cubaan seorang penghantar makanan menyeludup masuk syabu seberat 5,066.83 gram menggunakan perkhidmatan kurier, di sini, gagal apabila kegiatannnya itu berjaya dihidu penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam itu, lelaki berusia 21 tahun terbabit ditahan berhampiran pejabat syarikat kurier berkenaan, di HS Commercial Centre, Penampang, dekat sini, selepas dia dipercayai mengambil dadah yang dikirim oleh dirinya sendiri dari Semenanjung Malaysia.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan membawa lima bungkusan plastik kurier berkenaan yang masing-masing mengandungi dua tin coklat.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam tin coklat berkenaan membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik berisi ketulan hablur lut sinar yang disyaki dadah jenis syabu.

“Hasil siasatan awal, polis mendapati suspek mendapat bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki tempatan di Semenanjung Malaysia dan cuba diseludup masuk menggunakan perkhidmatan kurier.

“Semua dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan di daerah Penampang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Omar berkata, semua rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM250,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 30 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah,” katanya.

Leave a reply