DEWAN RAKYAT KOSONG ‘LETAK JAWATAN KALAU TIADA KOMITMEN’

Kegagalan ahli Parlimen menghadiri persidangan Dewan Rakyat tanpa alasan kukuh bukan sahaja mengganggu perjalanan mesyuarat malah menjejaskan proses kedaulatan undang-undang.
0
618

KUALA LUMPUR: Kegagalan ahli Parlimen menghadiri persidangan Dewan Rakyat tanpa alasan kukuh bukan sahaja mengganggu perjalanan mesyuarat malah menjejaskan proses kedaulatan undang-undang.

Isu Dewan Rakyat ‘kosong’ bukan baharu berlaku sebaliknya pernah ditegur sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Julai tahun lalu yang tidak berpuas hati dengan kehadiran menteri dan timbalan menteri.

Lebih menghairankan, sehari selepas ditegur Perdana Menteri, persidangan Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan selama 10 minit kerana tidak cukup korum.

Perbahasan Belanjawan 2020 yang berlangsung sejak semalam turut terpalit dengan isu sama apabila ramai wakil rakyat sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak berada di dalam dewan.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Rais Hussin, menyifatkan kehadiran ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat sebagai amat teruk.

Menerusi status dimuat naik di akaun Twitter rasminya, Rais mempersoalkan berhubung kehadiran wakil rakyat terutama ketika sesi perbahasan Belanjawan 2020 berlangsung.

“Kehadiran wakil rakyat pada sidang Parlimen ini agak teruk terutama apabila isu penting seperti Belanjawan 2020 sedang dibahaskan.

“Bagaimana untuk meningkatkan kehadiran di Parlimen dan mengurangkan mereka ponteng? Ada apa-apa idea?” soalnya.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata ahli Parlimen yang sengaja tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat seharusnya meletakkan jawatan.

“MP (ahli Parlimen) yang tak datang baik letak jawatan. Ini mandat yang diberikan oleh rakyat. Jadi kena hadir kecuali ada alasan kukuh seperti sakit atau sebagainya.

Kelmarin, ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkongsi gambar di akaun Twitter rasminya memaparkan Dewan Rakyat di blok kerajaan kelihatan kosong.

Leave a reply