Dikhuatiri lemas di Tawau Lama, keluarga yakin Nurul Maslan masih hidup

"GERAK hati dan naluri kami sekeluarga yakin abang masih hidup," kata Ismail Sabran, 33, selepas kehilangan abangnya, Nurul Maslan, 34, yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika menaiki sebuah bot di kawasan perairan Teluk Cowie berhampiran Tawau Lama, kelmarin.
0
64

TAWAU: “GERAK hati dan naluri kami sekeluarga yakin abang masih hidup,” kata Ismail Sabran, 33, selepas kehilangan abangnya, Nurul Maslan, 34, yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika menaiki sebuah bot di kawasan perairan Teluk Cowie berhampiran Tawau Lama, kelmarin.

Dia dikatakan dalam perjalanan ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik berseorangan sebelum laporan kehilangannya dibuat selepas dia tidak muncul di rumah ahli keluarganya di pulau berkenaan.

Ismail berkata, mereka sekeluarga ada mengadakan solat hajat sebagai ikhtiar supaya dipermudahkan urusan pencarian abangnya.

“Kami akan terus berikhtiar dan memohon orang ramai supaya mendoakan keselamatan abang saya sehingga dia dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dilakukan pelbagai agensi, hari ini

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Tawau Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, SAR diaktifkan membabitkan empat sektor pencarian seluas lapan batu nautika persegi bermula jam 8.30 pagi.

Menurutnya, operasi pencarian dijalankan Pasukan Polis Marin yang turut disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menggunakan aset dan bot peronda masing-masing.

Terdahulu, sepasukan anggota bot peronda PSC 50 yang melakukan Ops Benteng menemui sebuah bot dengan enjin masih hidup dalam keadaan berpusing-pusing tanpa jurumudi di lokasi kejadian pada jam 5.50 petang, kelmarin.

Hasil pemeriksaan ke atas bot itu, anggota PPM menemui sebuah beg galas berwarna hitam berisi dokumen pengenalan diri dan wang tunai RM13 dipercayai milik mangsa.

Comments are closed.