Doktor ditahan pecah rumah, babitkan kerugian hampir RM500,000

Seorang doktor ditahan polis selepas disyaki terbabit sekurang-kurangnya 22 kes pecah rumah dan curi di kondominium didiaminya sejak enam tahun lalu dalam serbuan di Gurney Park, di sini Khamis lalu.
0
144

Georgetown: Seorang doktor ditahan polis selepas disyaki terbabit sekurang-kurangnya 22 kes pecah rumah dan curi di kondominium didiaminya sejak enam tahun lalu dalam serbuan di Gurney Park, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata penahanan lelaki berusia 38 tahun itu dibuat pada jam 6 petang hasil risikan dan intipan polis susulan laporan pecah rumah di kondominium itu.

Pemeriksaan di ruang tamu kediaman suspek menemui dua kotak nintendo switch dan dua televisyen.

“Seterusnya pemeriksaan lanjut dalam bilik suspek pula menemui pelbagai barangan antaranya satu set projektor, 30 unit televisyen pelbagai jenama, 67 unit telefon bimbit, 19 unit smart tag, puluhan beg berjenama, 35 rangkai anak kunci dan kamera berjenama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semua barangan rampasan itu dianggarkan bernilai RM160,000.

Siasatan ke atas suspek mendapati modus operandi yang digunakannya adalah masuk ke rumah yang tidak berkunci pada awal pagi kemudian mencuri barang di ruang tamu.

Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan 22 kes pecah rumah dan curi yang berlaku di kondominium berkenaan sejak 2014 dengan kerugian RM493,615.

Comments are closed.