Dr Mahathir sendiri minta ditempatkan di blok pembangkang

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini meminta kedudukan kerusi di Dewan Rakyat ditempatkan di blok yang tidak menyokong Perikatan Nasional (PN).
0
59

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini meminta kedudukan kerusi di Dewan Rakyat ditempatkan di blok yang tidak menyokong Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan menerusi satu surat bertarikh 15 Mei dihantar kepadanya yang dikongsi di Twitternya hari ini.

Permintaan itu juga dikatakan melanggar Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menegaskan seseorang ahli dipecat serta-merta sekiranya menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini.

Bagaimanapun Takiyuddin berkata, hal parti adalah urusan dalaman parti berkenaan dan ahli yang terbabit.

“MP (Ahli Parlimen) akan ditempatkan di blok yang diminta, kerajaan atau sebaliknya. Hal dengan parti ialah urusan dalaman parti dengan ahlinya,” ciapnya Takiyuddin di Twitternya hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dan empat lagi ahli Parlimen Bersatu iaitu Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah turut dipecat atas kesalahan sama.

Bagaimanapun Ahli Parlimen terbabit tidak bersetuju sama sekali keahlian mereka dalam Bersatu dihentikan serta-merta dan mendakwa ia menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan yang dijamin bawah prinsip kedaulatan undang-undang.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Dr Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Dr Maszlee dan Amiruddin malam tadi.

Comments are closed.