Dua Nelayan Ditangkap Akibat Bom Ikan

0
208

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menangkap dua nelayan Palauh kira-kira jam 8 malam, semalam, disyaki terlibat dalam aktiviti bom ikan di perairan daerah ini.

Dua suspek yang disyaki menjalankan kegiatan bom ikan berjaya ditangkap oleh pasukan PPM Semporna

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pasukannya turut merampas pelbagai jenis ikan yang disyaki hasil tangkapan menggunakan bom ikan.

“Pergerakan kedua-dua suspek dikesan hasil Operasi Pensura berdasarkan pemantauan Unit Risikan Marin (URM) sebelum perahu mereka berjaya dijejak,” katanya.

Pajeri berkata pasukannya menahan kedua-dua suspek yang berumur dalam lingkungan 40-an, pada masa sama, turut menahan perahu serta enjin pam digunakan.

Menurutnya, ikan pelbagai jenis kira-kira 40kg yang disyaki mati akibat terkena bahan letupan terbabit, ditemui di ruangan perahu semasa pemeriksaan dijalankan.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM5,210 dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985.

“Kedua-dua tangkapan dan kesemua barang rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Leave a reply