DUA SUSPEK TERMASUK PATI MELAKUKAN BOM IKAN DI TAHAN PPM

SEMPORNA: Dua lelaki ditahan termasuk seorang warga Filipina selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pengeboman ikan di perairan Tanjung Sironggol, petang semalam.
0
223

SEMPORNA: Dua lelaki ditahan termasuk seorang warga Filipina selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pengeboman ikan di perairan Tanjung Sironggol, petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, dalam kejadian pukul 2.30 petang, suspek berumur 50 dan 34 tahun itu dikesan sedang menaiki dua bot pam berasingan.

“Hasil pemerhatian yang dilakukan, kedua-dua suspek merancang untuk bergerak berasingan bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

“Modus operandi mereka adalah seorang daripada suspek bertindak membaling bom ikan dan akan meninggalkan kawasan dengan segera, sebelum seorang lagi datang untuk mengutip semua ikan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Pajeri, bagaimanapun, tindakan mereka itu berjaya dikesan anggota PPM bertugas yang bertindak pantas menahan suspek.

“Turut ditemukan hasil laut iaitu ikan yang dibom berada dalam bot suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bahagian perut ikan dalam keadaan rosak akibat dibom.

“Sehubungan itu, suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 dan penjara sehingga 2 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Leave a reply