Dua Warga Asing Ditahan miliki syabu bernilai RM36,000

Penahanan dua lelaki warga asing di ladang di Bergosong, Pulau Sebatik di sini, kelmarin, membawa kepada penemuan syabu seberat 601.05 gram dianggarkan bernilai RM36,000.
0
253

Tawau: Penahanan dua lelaki warga asing di ladang di Bergosong, Pulau Sebatik di sini, kelmarin, membawa kepada penemuan syabu seberat 601.05 gram dianggarkan bernilai RM36,000.

Suspek warga Indonesia, masing-masing berumur 39 dan 41 tahun itu ditahan anggota polis yang menjalankan rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika menunggang sebuah motosikal.

“Syabu itu disimpan dalam kotak dibalut plastik dan digantung di bahagian depan motosikal.

“Pemeriksaan turut mendapati, kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hari ini.

Syabu itu dipercayai untuk edaran di kawasan berkenaan.

Ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif Methamphetamine dan Amphetamine.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan (No.3) 2020,” katanya.

Comments are closed.