EWON ALU-ALUKAN USAHA LPPKN LAKSANA PROGRAM FACE DI KG PIASAU

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan usaha Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk melaksanakan Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) di Kg.Piasau Kadamaian Kota Belud awal tahun depan.
0
209

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan usaha Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk melaksanakan Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) di Kg.Piasau Kadamaian Kota Belud awal tahun depan.

Beliau berkata, program itu adalah antara usaha kerajaan mensejahterakan rakyat luar bandar. Melalui program ini, LPPKN akan mengambil inisiatif melaksanakan program yang memberi fokus kepada pengukuhan institusi keluarga dan komuniti.

“Terima kasih kepada LPPKN kerana memilih kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian untuk melaksanakan Program FACE.

“Saya berharap melalui program ini kita dapat membina masyarakat yang produktif dan sejahtera serta mengenalpasti keperluan masyarakat setempat bagi merangka program intervensi yang bersesuaian bagi meningkatkan lagi tahap kesejahteraan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Penolong Pengarah Kanan LPPKN Suszma Khairitszi Mamat, di pejabatnya di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut mengalu-alukan jabatan dan agensi kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain melaksanakan program kemasyarakatan di kawasan itu untuk manfaat penduduk kampung.

Sementara itu Suszma berkata, bagi Sabah, Program FACE (Family And Community Empowerment atau Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti) fasa pertama dilaksanakan di Kampung Likas pada tahun 2016, kemudiannya fasa kedua di Kampung Rancangan Klias Beaufort (2017), Kampung Palu-Palu Kuala Penyu (2018) dan fasa keempat di Kampung Piasau Kota Belud (2019).

“Program FACE meliputi lapan komponen utama iaitu Keluarga Dan Komuniti; Ekonomi Keluarga; Keselamatan Keluarga; Kesihatan Keluarga; Keluarga Dan Agama/ Kerohanian; Persekitaran Dan Perumahan; dan Keluarga Dan Teknologi Komunikasi.

Beliau berkata, kepentingan untuk memastikan institusi keluarga terus sejahtera adalah antara agenda utama prospek pembangunan negara.

“Keutamaan ini dapat dilihat berdasarkan komitmen kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang mengangkat kepentingan institusi keluarga menerusi memperkasa komuniti untuk membina masyarakat yang produktif dan sejahtera,” katanya.

Turut serta dalam kunjungan itu Setiausaha Perhubungan Menteri Charles Dalansing dan Pengerusi MPKK Kg.Piasau Jimmy Berukang.

Leave a reply