Henti kempen benci pelarian di Malaysia

Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di negara ini menggesa kempen membangkitkan sentimen kebencian kepada komuniti pelarian yang semakin berleluasa oleh pihak tertentu segera dihentikan.
0
424

Kuala Lumpur: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di negara ini menggesa kempen membangkitkan sentimen kebencian kepada komuniti pelarian yang semakin berleluasa oleh pihak tertentu segera dihentikan.

Dalam satu kenyataan, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid bersama lebih 40 NGO berkata, pihaknya kesal dengan kempen menggunakan maklumat tidak berasas, diputar belit dan menambah fakta untuk sengaja menimbulkan kebencian kepada komuniti pelarian.

Katanya, ia sampai kepada peringkat ada yang sanggup menulis mengenai sejarah yang salah dan tidak berasas mengenai etnik ditindas serta bersekongkol dengan regim penindas yang memang mahu memburukkan dan menjustifikasikan jenayah penghapusan etnik yang dilakukan berpuluh tahun lalu.

“Malah kami kesal berleluasanya status media sosial kebelakangan ini dalam yang mengguna kata-kata keras dan bertentangan dengan akhlak Islam bila menular pandangan terhadap pelarian.

“Sudah tentu ini bukan nilai kesopanan dan ketatasusilaan yang dipegang oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Azmi berkata, mereka percaya nilai Ramadan sewajarnya mendidik dan menginsafkan semua atas nama persaudaraan Islam, dan mengambil petunjuk dari al-Quran dan sunnah.

Katanya, Malaysia sudah menjadi negara pilihan terutama dalam kalangan pelarian Muslim dan ia adalah beban yang diterima sejak 1970-an lagi.

“Sehingga hari ini Malaysia memilih tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.

“Bagaimanapun, Malaysia memberi banyak bantuan kepada pelarian dan kami berpendirian sikap dan komitmen Malaysia membantu pelarian perlu diteruskan,” katanya.

Justeru pihaknya menyarankan perbincangan khusus dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan agensi PBB yang lain supaya dapat bekerjasama dengan Malaysia dan NGO tempatan mencari penyelesaian kepada pelarian yang ada di sini.

Menurutnya, Malaysia perlu mengaktifkan semula gesaannya supaya Asean dan PBB mengambil inisiatif tegas secara kolektif menyelesaikan isu pelarian Myanmar yang melimpah ke negara jiran.

“Myanmar perlu ditekan supaya warga Rohingya diterima semula dan kewarganegaraan mereka dikembalikan untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air mereka,” katanya.

Comments are closed.