Isa Samad dilepas dan dibebaskan kes pecah amanah, diarah bela diri kes rasuah

Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah, namun diarah membela diri atas sembilan pertuduhan rasuah bagi pembelian hotel di Kuching, Sarawak, enam tahun lalu.
0
20

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah, namun diarah membela diri atas sembilan pertuduhan rasuah bagi pembelian hotel di Kuching, Sarawak, enam tahun lalu.

Keputusan melepas dan membebaskan Mohd Isa itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes ‘prima facie’ bagi kes pecah amanah dalam pembelian hotel RM160 juta itu.

“Keputusan ini dibuat selepas menilai secara maksimum semua bukti yang dikemukakan kepada saya di peringkat akhir pendakwaan, penilaian terhadap saksi dan pemeriksaan balas yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Isa diarah membela diri terhadap sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta sebagai sogokan atas persetujuan pembelian Hotel Merdeka Palace pada 2014.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes ‘prima facie’ bagi sembilan pertuduhan rasuah.

“Pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti boleh dipercayai bagi setiap elemen penting mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 seperti yang terdapat dalam sembilan pertuduhan.

“Justeru, wujud kes prima facie terhadap tertuduh dalam semua sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM,” katanya.

Mohd Nazlan kemudiannya menetapkan 17, 18 dan 19 Ogos depan sebagai tarikh untuk Mohd Isa membela diri.

Sementara itu, peguam Mohd Isa, Datuk Salehuddin Saidin, berkata anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi bagi kes rasuah terbabit.

“Pasukan pembelaan perlu menyangkal semua pertuduhan rasuah yang dikenakan ke atas anak guam dan mahkamah sudah menetapkan Ogos depan sebagai tarikh membela diri,” katanya.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching.

Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada 14 Januari lalu, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 15 hari perbicaraan.

Comments are closed.