Israel enggan serah kutipan cukai RM176j kepada Palestin

Kabinet Keselamatan Israel, semalam mengundi untuk menahan cukai penduduk Palestin berjumlah AS$43 juta (RM176 juta) dengan alasan ia digunakan untuk menggalakkan keganasan, lapor media Israel.
0
176

Kabinet Keselamatan Israel, semalam mengundi untuk menahan cukai penduduk Palestin berjumlah AS$43 juta (RM176 juta) dengan alasan ia digunakan untuk menggalakkan keganasan, lapor media Israel.

Jumlah berkenaan mewakili dana yang dikatakan rejim Zionis digunakan penduduk Palestin untuk diberikan kepada keluarga pejuang yang dipenjarakan atau dibunuh kerana menyerang Israel.

Israel berkata, tabung yang dinamakan Dana Syahid itu menyokong keganasan.

Penduduk Palestin berkata, bayaran itu amat diperlukan mereka untuk membantu keluarga yang terjejas akibat keganasan dan pencerobohan Israel.

Menurut perjanjian lalu, Israel mengutip cukai kastam dan lain-lain bagi pihak Palestin dan memindahkan wang berkenaan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Pemindahan wang secara bulanan itu, kira-kira AS$170 juta (RM698 juta), adalah kunci utama dana bagi bajet PA, yang mentadbir beberapa bahagian Tebing Barat yang diceroboh Israel.

Tahun lalu, Israel meluluskan undang-undang memotong beberapa bahagian pemindahan wang dan keputusan semalam adalah lanjutan kepada dasar itu.

Februari lalu, selepas Israel menahan bayaran berjumlah AS$140 juta (RM575 juta), Palestin berkata mereka menolak semua pemindahan bagi membantah dasar rejim.

Namun enam bulan kemudian, dengan PA berhadapan krisis kewangan meruncing, kedua-dua pihak mengadakan perjanjian untuk menyambung semula pemindahan wang.

Pegawai Palestin, Hanan Ashrawi, mengutuk tindakan Zionis itu, menyifatkan ia ‘kecurian dan ugutan politik yang nyata’.

“Ini jelas melanggar hak penduduk Palestin dan perjanjian ditandatangani selain ia adalah tindakan jenayah,” katanya.

Comments are closed.