Isu tular hospital Tuaran, jangan panik!

Isu kakitangan Hospital Tuaran yang dikuarantin tidak perlu diperbesarkan dan ditokok tambah kerana dikhuatiri akan mengundang panik dalam kalangan masyarakat setempat.
0
65

KOTA KINABALU: Isu kakitangan Hospital Tuaran yang dikuarantin tidak perlu diperbesarkan dan ditokok tambah kerana dikhuatiri akan mengundang panik dalam kalangan masyarakat setempat.

Demikian nasihat diberikan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi bagi mengulas isu yang ditularkan dalam laman media sosial mengenai kes petugas kesihatan di Hospital Tuaran yang diarahkan menjalani kuarantin.

Beliau berkata, semua kakitangan yang terlibat dalam pengurusan pesakit telah menjalani ujian saringan dan perlu dikuarantin. Itu adalah prosedur yang dilakukan apabila berlaku kontak dengan pesakit yang didapati positif Covid-19.

Isu ini bermula apabila satu kes positif Covid-19 dilaporkan di Tuaran pada 19 Mei dan pesakit telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Tuaran, sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Atas sebab itu, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP), Hospital Tuaran telah menjalankan aktiviti disinfeksi di lokasi yang telah dikenalpasti dalam hospital.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berharap isu ini tidak diperbesarkan atau ditokok tambah sehingga menyebabkan keadaan panik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Semalam, satu mesej ditularkan melalui aplikasi Whatsapp menyatakan 22 orang kakitangan Hospital Tuaran dibawa ke HQE untuk dikuarantin dan didakwa Tuaran dan Tenghilan perlu ‘lock down’ semula kerana akan dikategorikan sebagai zon merah.

Menerusi mesej tular itu, dikatakan keadaan ini berpunca daripada seorang warga emas yang mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran dan mempunyai gejala muntah, cirit-birit dan tiada selera makan. Warga emas ini disahkan positif Covid-19 dan ramai petugas yang telah memegangnya. Difahamkan jangkitan ini berpunca daripada anaknya yang dikatakan baru balik dari luar negara.

Comments are closed.