‘Jangan mimpi!’,Aziz Jamman

PARTI Warisan Sabah (WARISAN) menempelak UMNO supaya jangan bermimpi mahu membentuk kerajaan pintu belakang di Sabah melalui usaha membeli wakil rakyat untuk berpaling tadah.
0
89

Parti Warisan Sabah (WARISAN) menempelak UMNO supaya jangan bermimpi mahu membentuk kerajaan pintu belakang di Sabah melalui usaha membeli wakil rakyat untuk berpaling tadah.

Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pihaknya tahu cubaan UMNO membeli wakil rakyat supaya parti itu dapat membentuk sebuah kerajaan yang tidak demokratik.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain dalam Facebook miliknya menyatakan ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah tidak berpuas hati sehingga tidak hadir sidang akhbar menyokong Ketua Menteri baru-baru ini.

Azis menyifatkan kenyataan itu sangat dangkal dan cuba memainkan isu untuk mengelirukan rakyat.

“Cubaan yang baik untuk bermain isu dan kami sebenarnya tahu mereka cuba memujuk ADUN kami untuk buat langkah seperti di Kedah serta Langkah Sheraton.

“Bagaimanapun kekuatan utama kami adalah keutuhan yang wujud dalam kalangan pemimpin. Jangan terkejut kalau sebaliknya ADUN mereka yang akan menyertai kami,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Wira WARISAN, Mohd Ismail Ayob menyelar kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menganggap perbuatan lompat parti adalah perkara biasa berlaku di Sabah seperti yang terjadi di Semenanjung Malaysia.

Katanya, disebabkan perbuatan itu, beberapa kerajaan negeri ditumbangkan untuk membentuk kerajaan pintu belakang.

“Beliau (Bung) tidak perlu bermimpi kerana secara logiknya bukan mudah untuk lebih 17 ADUN melompat parti sekali gus apatah lagi wakil rakyat kerajaan kini mempunyai perjuangan yang jelas di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Jangan bermimpi semudah itu mahu rampas kerajaan negeri seperti begitu senang untuk ADUN lompat parti sampai 17 orang,” katanya.

Mohd Ismail turut menegaskan rakyat Sabah menukar kerajaan sebelum ini kerana mahukan pembaharuan dan ia menyebabkan wakil rakyat yang ada sekarang bersatu hati demi mencapai hak negeri itu.

Comments are closed.