Jangan tolak ansur dengan pemandu mabuk

SEREMBAN: Kerajaan jangan bertolak ansur lagi dengan pemandu mabuk dan hukuman berat perlu dikenakan.
0
107

SEREMBAN: Kerajaan jangan bertolak ansur lagi dengan pemandu mabuk dan hukuman berat perlu dikenakan.

Ahli Parlimen Seremban dari DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau bukannya menafikan hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras.

Sebaliknya tegas bekas Menteri Pengangkutan itu, mereka yang memandu dalam keadaan mabuk perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku insiden yang meragut nyawa individu tidak bersalah.

“Pendirian saya amat jelas. Saya tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras tetapi selepas minum alkohol, anda tiada hak untuk memandu dan membahayakan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang lelaki maut di Kuantan dipercayai dilanggar pemandu yang di bawah pengaruh alkohol serta memandu melawan arus pada Isnin lalu.

Sementara itu, Loke Siew Fook berkata, ketika memegang jawatan Menteri Pengangkutan, beliau telah merangka beberapa cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperketat undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

“Meminda Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang menyebabkan kematian boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan minima enam tahun (hukuman penjara sekarang ialah tidak kurang daripada 3 tahun tetapi tidak lebih daripada 10 tahun).

“Menurunkan kadar alkohol yang dibenarkan daripada 80 miligram (mg) alkohol dalam 100 mililiter darah kepada 50 mg alkohol dalam 100 ml darah (atau kurang) mengikut piawaian World Health Organization.

“Meningkatkan denda dan penjara kepada pemandu yang melebihi had yang dibenarkan walaupun tidak terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan menggantung lesen pemandu mabuk yang menyebabkan kematian seumur hidup jika didapati bersalah.

Tegasnya, pemandu mabuk yang meragut nyawa orang lain tidak layak untuk memandu di atas jalan raya.

“Pihak penguat kuasa undang-undang perlu mempunyai tahap integriti yang paling tinggi dan menjalankan tugas ‘without fear or favour’.

“Itu sebabnya saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan ‘pilot project’ di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mewajibkan semua penguat kuasa JPJ memakai ‘body camera’ semasa menjalankan tugas namun semua itu tinggal cadangan sekarang,” katanya.

Comments are closed.