JKNS tak mampu saring semua pekerja asing di Sabah

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) setakat ini belum mampu menjalankan saringan pemeriksaan Covid-19 ke atas semua pekerja asing terdapat di negeri ini.
0
88

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) setakat ini belum mampu menjalankan saringan pemeriksaan Covid-19 ke atas semua pekerja asing terdapat di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, semua hospital kerajaan tidak mampu berbuat demikian sekiranya sektor ekonomi dibuka dengan serta-merta.

“Jika ia tidak dibuka sekali gus, mungkin kita boleh menjalankan saringan pemeriksaan Covid-19 secara berperingkat.

“Kita sudah mengadakan mesyuarat mengenai pekerja asing dan JKNS mendapati saringan pemeriksaan tidak boleh dijadikan aras tanda untuk membenarkan sektor ekonomi dibuka.

“Sebelum sesuatu sektor perniagaan dibuka, majikan harus memastikan semua kakitangannya sihat selain berupaya menguruskan kakitangan yang mungkin jatuh sakit ketika bekerja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perubatan daripada Yayasan OSIMAL, MSIC Life Insurance Berhad, Caring Pharmacy dan Klinik Perubatan Kenson, hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Antara sumbangan diberikan termasuklah penutup hidung dan mulut N95, pelindung muka dan peralatan perlindungan peribadi.

Dalam pada itu, Dr Christina berkata, JKNS bakal membantu semua sektor yang ingin membuka operasi perniagaan dalam aspek menetapkan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita boleh membantu dengan memberi nasihat supaya peniaga mengikut SOP yang ada kerana pandemik Covid-19 masih berlaku.

“Keadaan sekarang bukan sekadar kembali untuk bekerja seperti biasa. Kita perlu faham keadaan semasa yang mana majikan perlu memastikan ada saringan pemeriksaan dilakukan, kakitangan amalkan penjarakan sosial, memakai penutup mulut dan hidup serta cecair basmi kuman,” katanya.

Comments are closed.