Jualan beras naik mendadak di Sabah, Bernas kawal jualan

Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) mencatat peningkatan jualan beras sebanyak 10 peratus di negeri ini dalam tempoh tiga bulan pertama 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.
0
175

KOTA KINABALU: Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) mencatat peningkatan jualan beras sebanyak 10 peratus di negeri ini dalam tempoh tiga bulan pertama 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Malah jualan beras turut naik mendadak pada April iaitu sebanyak 40 peratus daripada purata jualan biasa di negeri itu.

Selain itu, BERNAS dalam kenyataan berkata, terdapat pertambahan sebanyak 27 peratus pemborong beras yang tidak mempunyai rekod pembelian sebelum ini dan sekarang sudah mula membuat pembelian beras dengan agensi itu.

Sekitar 61 peratus pemborong di Sabah pula didapati membuat pembelian beras lebih daripada jumlah belian biasa.

“Daripada peratusan itu, 37 pemborong membuat belian melebihi 100 peratus daripada jumlah belian biasa,” kata BERNAS dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu bagi mengulas laporan berita bertajuk ‘BERNAS Digesa Tidak Catu Bekalan Beras Di Sabah’ yang diterbitkan akhbar tempatan pada Rabu.

Berita itu antara lain menyebut Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Azuwan Marjan menggesa BERNAS tidak membuat catuan bekalan beras kepada pemborong di Sabah selepas beliau dimaklumkan pemborong bahawa BERNAS mula berbuat demikian pada 13 April lalu.

Menjelaskan perkara itu, BERNAS berkata keadaan pembelian luar biasa mendorong agensi mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengawal jualan kepada pemborong tertentu untuk mengelakkan berlakunya sorokan beras oleh pihak berkaitan.

Ini bagi menghalang kemungkinan beras yang sepatutnya dibekalkan untuk pasaran Sabah dibawa ke luar negara seperti Indonesia dan Filipina setelah mengambil kira faktor harga beras di Malaysia adalah terendah di rantau Asia Tenggara, kata BERNAS.

BERNAS berkata pemantauan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan terus dijalankan bagi memastikan rantaian bekalan makanan utama negara terus terkawal khususnya di Sabah.

Comments are closed.