KDN BATALKAN SEMUA DOKUMEN KECUALI KAD IMM13

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk membatalkan semua dokumen yang diberikan terhadap warga asing di Sabah kecuali kad IMM13 bagi memudahkan proses pemberian dokumen daripada negara asal mereka masing-masing.
0
282

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk membatalkan semua dokumen yang diberikan terhadap warga asing di Sabah kecuali kad IMM13 bagi memudahkan proses pemberian dokumen daripada negara asal mereka masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dokumen yang pelbagai seperti kad IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung menyukarkan proses pengurusan warga asing di Sabah.

Maka, KDN mahu memperbetulkan keadaan itu dengan melakukan penyelarasan supaya hanya tinggal satu kad sahaja yang akan digunakan, iaitu kad IMM13 kepada warga asing yang berada di negeri ini.

“Inilah langkah penyelesaian yang kita ambil iaitu dengan menyelaras kad IMM13.

“Apabila mereka memiliki kad IMM13, kita boleh hubungi keduataan negara asal mereka untuk memberikan mereka dokumen (pasport) yang betul supaya mereka boleh bekerja di negara ini dengan taraf pekerja warga asing yang berdaftar.

“Kita akan berbincang dengan kedutaan negara mereka supaya mengeluarkan pasport ke atas rakyat mereka. Dengan itu, mereka akan duduk di sini (Sabah) sebagai warga asing,” katanya ketika mengulas langkah kementeriannya dalam menyelesaikan isu warga asing di Sabah.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Tahanan Sementara, Manggatal sempena lawatan kerja pertamanya ke Sabah selama tiga hari, yang berakhir hari ini.

Hamzah berkata, seramai 136,065 orang pemegang kad IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung yang berdaftar sebelum ini akan diselaraskan untuk memegang IMM13 sahaja.

Mengenai status anak-anak pemegang ketiga-tiga dokumen tersebut, beliau berkata, KDN akan menyelesaikan masalah dokumentasi 136,065 orang pemegang asal dokumen berkenaan terlebih dahulu. Selepas itu, barulah strategi kedua diambil iaitu melihat semua pihak berkaitan dengan pemegang dokumen asal.

Untuk makluman, KDN tidak akan mengeluarkan dokumen baharu dan pihaknya akan kekal dengan perancangan asal iaitu memberikan IMM13 kepada warga asing yang berada di Sabah.

Ditanya bagaimana sekiranya Filipina enggan menerima rakyatnya, beliau berkata, apabila proses dokumentasi ke atas semua pemegang IMM13 selesai, barulah KDN akan berbincang dengan Filipina.

“Bagaimana mahu membuktikan dengan Manila jika tiada dokumen untuk membuktikan mereka yang berada di Sabah ini dari Filipina. Maka, kita kena selesaikan masalah yang ada di sini dulu baru berunding dengan negara mereka,” jelasnya.

Mengulas mengenai adakah cadangan menetapkan hanya satu dokumen itu sudah dibincangkan dengan Ketua Menteri Sabah, Hamzah berkata, beliau akan mengumpul semua maklumat melalui agensi di bawah KDN terlebih dahulu sebelum perbincangan dilakukan.

Mengenai proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Filipina yang tertangguh disebabkan kebimbangan penularan jangkitan Covid-19, Hamzah berkata, isu berkaitan hubungan dua hala ini boleh dibincangkan. Pihaknya akan berbincang dengan Filipina mengenai perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan individu yang mahu dihantar pulang ke Filipina bebas jangkitan Covid-19. Malaysia terbukti sudah melakukan yang terbaik dalam menangani wabak ini.

Dokumen kepada warga asing di Sabah iaitu kad IMM13 diberikan kepada warga asing yang berstatus pelarian, Sijil Banci dikeluarkan kepada warga asing melalui program pemutihan Pasukan Petugas Khas Persekutuan dan Kad Burung-Burung dikeluarkan pada 1970an hingga 1990an.

Comments are closed.