Kerajaan beberapa negeri diramal bertukar tangan

Perubahan yang berlaku umpama domino apabila satu demi satu jatuh kepada gabungan politik baharu iaitu Perikatan Nasional (PN).
0
996

Perkembangan terkini politik negara akan turut mengubah landskap politik di beberapa buah negeri.

Perubahan yang berlaku umpama domino apabila satu demi satu jatuh kepada gabungan politik baharu iaitu Perikatan Nasional (PN).

Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) telah memberi kesan kepada perubahan tampuk kepemimpinan di beberapa negeri seperti di Johor, Kedah, Melaka, Perak dan Sabah.

Setakat hari ini, Johor sudah mempunyai Menteri Besar yang baharu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad mengangkat sumpah bagi menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Bersatu.

Di Perak, sudah terdengar ura-ura ADUN Kota Tampan daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Saarani Mohamad akan menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Di Kedah, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih menunggu kepulangan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang kini masih berada di Kuala Lumpur untuk memuktamadkan kedudukan mereka sebagai kerajaan negeri.

Ketika ini, Pas memiliki kerusi paling banyak dalam DUN Kedah iaitu 15, PKR (7), Bersatu (6), Amanah (4), BN (2) dan DAP (2).

Kedah ketika ini berstatus PH dan Bersatu. Jika beberapa orang ADUN Bersatu berpindah kem, maka runtuhlah PH di Kedah.

Di Sabah, kerajaan negeri diketuai oleh Warisan dan PH hanya sekadar rakan kongsi, yang mana ia masing-masing terdiri daripada Warisan (31), Bersatu (6), DAP (6), UPKO (4) dan PKR (2).

Di Melaka, Barisan Nasional (BN) mengumumkan ia berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu menerusi gabungan bersama Bersatu.

Nama Ketua Menteri Melaka yang baharu akan diumumkan tidak lama lagi.

Bagi negeri-negeri lain, PH mungkin akan mengekalkan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, BN mengekalkan Pahang dan Perlis manakala Pas terus berkuasa di Kelantan dan Terengganu.

Sumberhttps://www.sinarharian.com.my/article/72294/Lidah-Pengarang/Kerajaan-beberapa-negeri-diramal-bertukar-tangan

Comments are closed.