Kerajaan Sabah sekat kemasukan jemaah tabligh dari Sulawesi Selatan

Kerajaan Sabah menyekat kemasukan jemaah dari Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia di Gowa, Sulawesi Selatan, sebagai langkah menangani penularan wabak COVID-19.
0
423

Kerajaan Sabah menyekat kemasukan jemaah dari Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia di Gowa, Sulawesi Selatan, sebagai langkah menangani penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, berkata larangan itu berkuat kuasa hari ini untuk tempoh 14 hari.

“Kerajaan Negeri mengambil tindakan serta-merta menyekat kemasukan jemaah tabligh yang menghadiri Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia di Gowa, Sulawesi Selatan, Indonesia pada 18 hingga 19 Mac lalu dan tidak dibenarkan masuk ke Negeri Sabah untuk tempoh 14 hari, bermula hari ini.

“Kerajaan negeri juga memutuskan supaya pihak berkuasa tempatan menutup semua operasi terminal bas awam (inter-district) di seluruh negeri Sabah bermula 21 Mac sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 31 Mac, memandangkan masih banyak pergerakan penduduk di terminal bas daerah masing-masing mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Beliau berkata keputusan berkeaan dibuat dalam mesyuarat Pusat Kawalan COVID-19 hari ini.

Selain itu, Safar berkata, isu pelajar Sabah terkandas di lapangan terbang di Semenanjung pada 18 Mac sudah diselesaikan.

“Begitu juga dengan isu warganegara Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Kota Kinabalu, juga berjaya diatasi sepenuhnya pada jam 7 malam, semalam,” katanya.

Safar berkata, agensi negeri juga melakukan proses pembasmian kuman mengikut kaedah Kementerian Kesihatan dan dipantau oleh Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah membabitkan 36 premis dan bangunan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri juga turut melakukan proses pembasmian kuman 62 masjid dan 90 surau di seluruh Sabah.

Beliau berkata, selain daripada pengasingan di wad hospital, kerajaan negeri juga membuka pusat kuarantin di beberapa daerah untuk menempatkan PUI (Person Under Investigation) COVID-19 di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri juga melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah memantau bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Comments are closed.