Klinik dan Hospital Malaysia Kehabisan Stok Vaksin Influenza A

Ini dibuktikan apabila tinjauan dan usaha wartawan menghubungi klinik swasta di sekitar ibu kota mendapati jawapan hampir sama diberikan apabila mereka mendakwa kehabisan bekalan vaksin sejak kelmarin.
0
282

Majoriti klinik dan hospital swasta mendakwa kehabisan vaksin influenza A dan orang ramai hanya boleh mendapatkan bekalan vaksin beberapa bulan lagi.

Ini dibuktikan apabila tinjauan dan usaha wartawan menghubungi klinik swasta di sekitar ibu kota mendapati jawapan hampir sama diberikan apabila mereka mendakwa kehabisan bekalan vaksin sejak kelmarin.

Sebuah klinik di Sentul mendakwa mereka kehabisan bekalan selepas stok kedua tiba sebelum ‘diborong’ ibu bapa.

“Stok habis, lepas Tahun Baharu Cina baru ada,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Situasi sama turut berlaku di sebuah klinik di Setapak yang mendakwa pihaknya kehabisan vaksin berikutan permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk mendapatkan stok ubat anti-virus yang digunakan untuk merawat dan mencegah Influenza A.

“Tiada stok, tak pasti bila sampai. Sudah lebih 50 klinik kami tanya semua kehabisan stok.

“Ini ‘supplier’ (pembekal) tak mahu release (hantar bekalan). Semua hospital swasta juga tiada,” katanya.

PELAJAR memakai topeng muka elak dijangkiti Influenza.
Jawapan sama diterima Harian Metro sebaik bertanyakan lebih lima klinik swasta lain di sekitar ibu kota apabila mereka mendakwa kehabisan stok.

Malah, permintaan yang tinggi untuk mendapatkan vaksin menyebabkan harga suntikan itu melambung tinggi mencecah RM150 walaupun harga biasa sekitar RM50.

Noraini Mat Jusoh, 47, pula berkata, dia terpaksa mencari lebih enam klinik dan hospital untuk mendapatkan vaksin influenza untuk bayinya, Dzal Aidi Inzaghi, 18 bulan.

“Saya sudah tempah vaksin ini sejak Disember lalu di sebuah hospital swasta namun bekalan tetap habis menyebabkan saya panik dan cuba mencari di beberapa klinik sekitar ibu kota.

“Saya terpaksa hubungi beberapa klinik swasta untuk mendapatkan vaksin berkenaan namun diberitahu kehabisan stok.

“Bagaimanapun percubaan saya di sebuah hospital di Cheras berhasil dan Alhamdulillah, Aidi sudah menerima suntikan vaksin semalam (kelmarin) dengan kos RM134,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan permohonan permit oleh fasiliti kesihatan swasta untuk mengimport vaksin Influenza A dari negara lain meningkat sejak Disember lalu.

Fasiliti KKM sudah sedia bekalan mencukupi

TIADA masalah untuk mendapatkan bekalan vaksin influenza dan ubat antiviral Oseltamivir di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun permintaan vaksin meningkat empat kali ganda untuk Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi fasiliti KKM, Oseltamivir dibekalkan di bawah syarikat konsesi yang diarahkan untuk menyimpan stok mencukupi.

“Tiada masalah bekalan di fasiliti KKM walaupun permintaan meningkat sejak Disember lalu.

“Memandangkan terdapat permintaan yang mendadak di fasiliti kesihatan swasta, lima pembekal sedia ada yang berdaftar tidak dapat menampung permintaan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, KKM memberikan kelulusan khas kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal alternatif.

“Setakat ini, KKM meluluskan hampir 1.1 juta kapsul bagi tempoh Disember lalu hingga Januari untuk memenuhi permintaan fasiliti kesihatan swasta,” katanya.

“Kuantiti ini dianggarkan dapat merawat sejumlah 110,000 pesakit dan KKM sentiasa komited dalam memastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, vaksin influenza diberikan sebagai langkah pencegahan untuk memberi perlindungan kepada individu yang dijangkiti virus influenza.

“Vaksin influenza hanya ditawarkan di fasiliti KKM sebagai sebahagian daripada regimen rawatan golongan pesakit yang berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan termasuk kematian dan pemberiannya adalah berdasarkan kepada penilaian klinikal daripada pakar yang merawat pesakit terbabit,” katanya.

“Vaksin ini turut diberikan kepada golongan anggota barisan hadapan KKM yang terdedah kepada jangkitan semasa mengendalikan pesakit,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang ingin mendapatkan suntikan vaksin influenza boleh mendapatkan suntikan berkenaan di fasiliti kesihatan swasta.

“Sehingga kini, terdapat enam produk vaksin influenza berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia.

“Jumlah keseluruhan kuantiti yang dibawa masuk untuk pasaran Malaysia sepanjang 2019 bagi keenam-enam produk vaksin ini sebanyak 638,388 dos.

“Daripada jumlah keseluruhan bekalan ini, hanya 10 peratus adalah bekalan ke fasiliti kesihatan KKM,” katanya.

Beliau berkata, pola permintaan terhadap vaksin influenza didapati meningkat secara mendadak pada akhir 2019 dan awal tahun 2020.

“Pihak pembekal mengagihkan sejumlah 40,000 dos vaksin influenza ke hospital dan klinik swasta pada 7 Januari lalu hingga menyebabkan baki stok dalam simpanan pihak pembekal habis buat masa ini.

“Pihak KKM dimaklumkan sejumlah 99,470 dos lagi akan dibawa masuk pada bulan Januari 2020 manakala ubat Oseltamivir pula adalah ubat antiviral yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus Influenza.

“Di Malaysia, terdapat pelbagai jenama Oseltamivir yang berdaftar antaranya Tamiflu, Fluhalt, Osmivir dan Starflu,” katanya.

Menurutnya, pemberian ubat antiviral dapat mengurangkan simptom serta komplikasi penyakit bagaimanapun penggunaan antiviral perlu digunakan secara rasional bagi mengelak kerintangan antimikrobial yang menyebabkan rawatan tidak berkesan.

Comments are closed.