Kumpulan Penculik Cuba Masuk Sabah

Masih wujud cubaan masuk kumpulan culik untuk wang tebusan (KFRG) biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan yang terbaharu pada Rabu lalu.
0
5233

Masih wujud cubaan masuk kumpulan culik untuk wang tebusan (KFRG) biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan yang terbaharu pada Rabu lalu.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan, berkata ESSCOM dengan kerjasama pasukan keselamatan Filipina memperkukuh kawalan di perairan untuk memastikan tidak wujud ancaman keselamatan ketika tempoh PKP.

Katanya, ESSCOM juga bertugas seperti sedia kala dan menguatkuasakan PKP di laut untuk memastikan keselamatan sentiasa terjamin.

“Sepanjang PKP dilaksanakan, aktiviti jenayah di laut dan darat berkurangan kerana pergerakan terhad dengan semua agensi keselamatan dapat mengawal kawasan dengan lebih cekap.

“Namun, kami di ESSCOM melaksanakan tugas seperti biasa dan kami juga kuatkuasakan PKP di laut sebab tidak mahu ada pihak tertentu yang mengambil peluang dan memandang remeh arahan PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bubur lambuk kepada anggota keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya di Batu 16, di sini.

Mengenai program itu, Noor Alam Khan berkata, sumbangan itu menunjukkan rasa simpati pasukan ESSCOM terhadap mereka yang terbabit dalam menangani wabak itu kerana berdepan risiko tinggi akibat wabak Covid-19.

“Selaku agensi yang juga berada di barisan hadapan, kami mengambil berat dan mahu bekerjasama untuk memastikan keadaan keselamatan serta PKP dipatuhi semua rakyat di Sabah, khususnya di pantai timur,” katanya.

Sebelum itu, ESSCOM menyerahkan sumbangan bubur lambuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, Hospital Duchess of Kent dan Pejabat Kesihatan Sandakan.

Comments are closed.