Lancar mata wang digital, China bersedia jadi negara pertama

Mata wang digital China akan mewujudkan ‘persaingan sengit’ apabila dilancarkan kelak, dengan bank komersial dan institusi kewangan akan berlumba-lumba untuk memberikan perkhidmatan terbaik menggunakan wang baharu itu, kata seorang pegawai bank pusat.
0
162

HONG KONG: Mata wang digital China akan mewujudkan ‘persaingan sengit’ apabila dilancarkan kelak, dengan bank komersial dan institusi kewangan akan berlumba-lumba untuk memberikan perkhidmatan terbaik menggunakan wang baharu itu, kata seorang pegawai bank pusat.

China bersedia menjadi negara pertama melancarkan mata wang digital domestik, perkembangan yang diperhatikan dengan penuh minat oleh industri perkhidmatan kewangan dunia, walaupun hanya sedikit butiran yang ada buat masa ini.

Mirip dengan mata wang digital Libra yang dicadangkan oleh Facebook dan mata wang kripto lain seperti bitcoin, projek Pembayaran Elektrik Mata Wang Digital (DCEP) akan menggunakan sebahagiannya teknologi blockchain.

People’s Bank of China akan melaksanakan pendekatan dua peringkat bagi projek itu, kata Ketua Institut Penyelidikan Mata Wang Digital bank pusat itu, Mu Changchun, pada satu forum di Hong Kong.

Ia akan terlebih dulu menerbitkan mata wang itu kepada bank komersial dan institusi kewangan lain, yang kemudian akan menghantarnya kepada pengguna awam.

“Semasa tempoh penyelidikan dan tempoh terbitan, akan berlaku pendekatan bersaing,” kata Mu.

“Peneraju akan menguasai keseluruhan pasaran. Siapa yang lebih cekap, siapa yang boleh memberikan perkhidmatan lebih baik, akan berjaya pada masa depan.”

Mu menambah, bank pusat itu adalah ‘neutral kepada teknologi’, namun menjangkakan jika peneraju memimpin pasaran, teknologi yang digunakan akan turut dilaksanakan oleh pihak lain.

Memandangkan DCEP direka bentuk untuk menggantikan wang kertas dan syiling sedia ada, pemegang mata wang itu tidak akan menerima pembayaran faedah, yang bermakna tiada implikasi bagi inflasi atau dasar monetari, kata Mu.

Walaupun projek itu mempunyai persamaan dengan Libra, ia berkemungkinan membenarkan pengawal selia China pemantauan lebih ketat terhadap aliran wang berbanding yang ada sekarang ini.

Motivasi terbesar di belakang projek itu, kata pemerhati pasaran, adalah kemahuan China untuk melindungi sempadan modalnya berikutan kebimbangan bahawa sistem pembayaran baharu global dan teknologi moden akan memudahkan aliran tunai haram.

Leave a reply