Langkah awal dengan pemberian IMM13 baik untuk Sabah,Jeffrey

Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bersetuju dengan penggunaan hanya satu dokumen iaitu IMM13 bagi warga asing Filipina yang sekarang memegang kad Burung-Burung dan Sijil Banci.
0
38

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bersetuju dengan penggunaan hanya satu dokumen iaitu IMM13 bagi warga asing Filipina yang sekarang memegang kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku itu berkata, pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tentang perkara itu merupakan langkah awal yang positif untuk menyelesaikan masalah imigran di Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, golongan warga asing itu lebih mudah difahami dengan menggunakan satu dokumen antarabangsa berbanding Pas Sementara Sabah (PSS) yang mencurigakan.

“Kerajaan Filipina juga akan berasa gembira kerana selepas mereka diberikan status yang sah sebagai rakyat Filipina serta pasport, mereka boleh mendapat pas kerja untuk bekerja di Malaysia.

“Saya gembira Kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah pertama yang telah lama ditunggu-tunggu untuk mengatasi punca segala masalah di Sabah,” katanya.

Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkata, partinya akan membantu Kerajaan Persekutuan memberi penjelasan tentang perkembangan terbaharu itu kepada rakyat melalui forum berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dicadangkannya.

“Polisi baharu yang disambut baik telah diumumkan dalam perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri di mana beliau bertegas mengambil tindakan ke atas semua pendatang haran di Malaysia, tiada lagi PATI.

“Saya juga gembira pasukan keselamatan telah mengenal pasti banyak laluan tikus digunakan pendatang haram untuk memasuki Malaysia dan akan memastikan kemasukkan haram itu dapat dihentikan.

“Penyelesaian ini adalah langkah positif diambil Perikatan Nasional (PN) dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Saya juga berharap langkah penting seterusnya untuk memperkenalkan kad pengenalan Sabah akan menyusul,” katanya.

Comments are closed.