Lebih 50 peratus hilang pekerjaan di Sabah dari sektor pelancongan

Seramai 172,104 orang pekerja di Sabah berdaftar dibawah Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
0
39

KOTA KINABALU: Seramai 172,104 orang pekerja di Sabah berdaftar dibawah Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah, Dr Mohd Ali Hindia berkata, daripada jumlah itu, 146,699 orang pekerja memohon di bawah PSU. Manakala, 25,405 orang pekerja memohon di bawah ERP.

Beliau berkata, untuk majikan pula seramai 18,021 berdaftar di bawah PSU dan 2,700 lagi di bawah ERP.

Mengenai individu yang kehilangan pekerjaan, sebanyak 58 peratus daripada 1,676 orang yang hilang pekerjaan sepanjang lima bulan pertama tahun ini merupakan pekerja dalam sektor pelancongan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, daripada 973 orang yang hilang pekerjaan dalam sektor pelancongan ini, 43 peratus terdiri daripada mereka yang berpendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500.

Mohd Ali berkata, pembayaran elaun tunai RM600 ke atas semua yang berdaftar dengan PERKESO dibawah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) ini sedang dalam proses pembayaran.

Pembayaran elaun tunai dibawah SIP akan dibayar secara maksimum selama tempoh tiga bulan.

Katanya, daripada jumlah mereka yang hilang pekerjaan di Sabah, dearah Kota Kinabalu merekodkan bilangan paling tinggi, dengan 1,234 orang. Diikuti dengan Sandakan seramai 89 orang.

Program Subsidi Upah (PSU) diperkenalkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) untuk majikan,  sekaligus membantu pekerja berpendapatan RM4, 000 ke bawah mengekalkan pekerjaan mereka.

PSU diperkenal bagi membantu majikan meneruskan operasi dan mengekalkan pekerja mereka selepas terkesan akibat jangkitan Covid-19.

Comments are closed.