Lelaki Ajak Polis Bertumbuk

0
1199

Seorang lelaki menjadi individu pertama ditahan di daerah ini selepas memaki hamun dan mengajak bertumbuk dengan anggota polis apabila enggan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan ketika sekatan jalan raya di Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, berhadapan Klinik Kesihatan Juasseh, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, lelaki itu ditahan pada jam 3.40 petang selepas enggan memberi kerjasama untuk berpatah balik.

“Suspek dipercayai dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Gebeng Kuantan, Pahang bagaimanapun gagal mengemukakan surat kebenaran pergerakan daripada pihak polis.

“Kemudian suspek bertindak memaki hamun dan mencabar anggota polis bertugas untuk bertumbuk,” katanya ketika dihubungi.

Amran berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Seremban, pagi ini.

“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan),” katanya.

Comments are closed.