Lelaki Nyanyuk Tunggang Motosikal Lawan Arus

0
228

KULAI: Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas menunggang motosikal secara melawan arus di Kilometer (KM) 54.7 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, kira-kira jam 6.35 petang semalam.

Warga emas berasal dari Ayer Keroh itu ditahan polis peronda yang membuat pemantauan selepas menerima laporan orang awam serta PLUS sejak jam 3.25 petang.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata polis peronda membuat pemantauan dari KM20 sebelum menemui warga emas berkenaan di KM54.7 berhampiran Sedenak.

“Siasatan lanjut mendapati warga emas berusia 73 tahun itu dipercayai hilang ingatan atau nyanyuk.

“Polis Peronda Senai-Johor Bahru kemudian membawa suspek ke Balai Polis Bemban, Pontian untuk laporan polis sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan keadaan suspek yang nyanyuk, dia dilepaskan atas jaminan polis dengan keluarga diminta mengambilnya di IPD Kulai,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Beng Yeow berkata, kes itu tetap disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, video warga emas yang menunggang motosikal secara melawan arus tular di media sosial sejak malam tadi.

Comments are closed.