Malaysia Boleh tamatkan PKP, tapi…

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh ditamatkan sekiranya jumlah kes koronavirus baharu (Covid-19) di negara ini berkurangan dan kebolehjangkitan kes dalam komuniti tidak berlaku, selain bergantung kepada penelitian beberapa faktor lain oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
0
943

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh ditamatkan sekiranya jumlah kes koronavirus baharu (Covid-19) di negara ini berkurangan dan kebolehjangkitan kes dalam komuniti tidak berlaku, selain bergantung kepada penelitian beberapa faktor lain oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menekankan antara beberapa faktor lain sebelum PKP boleh ditamatkan, termasuk memastikan kesiapsiagaan negara mengawal penularan wabak dan keupayaan makmal serta hospital.

“Antara faktor adalah pengurangan kes yang masih dirawat iaitu kes kebolehjangkitan. Sekarang ini kita ada 2,198 kes positif dan kalau kes itu berkurangan maksudnya kita ada pengurangan kes jangkitan di dalam komuniti.

“Faktor kedua adalah menggunakan surveillance iaitu melihat kes Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di dalam komuniti. Sekarang ini terdapat 114 kes dan pemantauan mendapati kedua-dua kes berkenaan semakin berkurangan.

“Kita juga perlu melihat kepada kawasan tertentu dan kepadatan di kawasan itu sama ada masih berlaku jangkitan atau kluster baharu. Apa yang penting tidak berlaku kluster yang besar sebelum kita boleh menasihatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menamatkan PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Noor Hisham berkata, keupayaan makmal dan kesediaan hospital memberikan rawatan terbaik kepada pesakit Covid-19 juga menjadi pengukur kepada kejayaan mengatasi wabak itu dan membolehkan PKP ditamatkan.

“Paling penting juga dua isu besar ini iaitu keupayaan makmal kita sama ada dapat mengesan kes dengan cepat dan tepat serta keupayaan hospital menampung jumlah pesakit.

“Setakat ini mereka yang tiada gejala dan gejala ringan juga kita masukkan ke hospital untuk pemantauan. Mereka yang ada gejala atau radang paru-paru akan diberikan rawatan terbaik,” katanya.

Comments are closed.