Malaysia sumbang 18 juta sarung tangan ke Wuhan

Malaysia akan menyumbang 18 juta sarung tangan bagi kegunaan pegawai perubatan di Wuhan, China yang kini sedang dilanda wabak coronavirus atau 2019-nCoV.
0
344

Malaysia akan menyumbang 18 juta sarung tangan bagi kegunaan pegawai perubatan di Wuhan, China yang kini sedang dilanda wabak coronavirus atau 2019-nCoV.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata sumbangan berkenaan seiring dengan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia menghantar bantuan ke Wuhan sekiranya dibenarkan oleh kerajaan China.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian mengambil inisiatif untuk menghantar bantuan sarung tangan perubatan ke negara terbabit kerana hospital di sana kini sedang menghadapi kekurangan bantuan keperluan perubatan.

“Pada masa ini, hospital di Wuhan merayu bantuan keperluan perubatan seperti penutup muka, sut dan sarung tangan klinikal. Sarung tangan perubatan, getah asli dan nitril akan dihantar ke China dan kumpulan penghantaran pertama kini dalam perjalanan ke Wuhan.

“Dua syarikat, Top Glove dan Supermax sudah menyumbangkan 2.3 juta sarung tangan perubatan berkenaan dan akan diikuti oleh beberapa syarikat sarung tangan lain seperti Smart Glove, Hartalega, Kossan, YTY, Brightway dan Koon Seng,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebelum beliau menyaksikan penyerahan sarung tangan perubatan daripada 10 pengeluar sarung tangan perubatan kepada Duta China ke Malaysia, Bai Tian, di kementeriannya di sini, hari ini.

Teresa dan Bai Tian (tengah) menunjukkan sarung tangan perubatan pada majlis penyerahan 18 juta sarung tangan perubatan untuk pekerja kesihatan di Wuhan. -foto BERNAMA

Kementerian juga berbincang dengan Wisma Putra bagi membantu melancarkan proses penghantaran sarung tangan perubatan berkenaan.

“Disebabkan ada penerbangan khas ke Wuhan bagi mengambil rakyat Malaysia di sana, saya memohon supaya bekalan sarung tangan ini dibawa terus memasuki penerbangan sama,” katanya.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok. – Foto BERNAMA

Ini bukan kali pertama Malaysia menghantar bekalan sarung tangan bagi membantu negara luar. Pada 2014, Malaysia menghantar lebih 20 juta sarung tangan getah perubatan ke lima negara Afrika iaitu Liberia, Sierea Leone, Guinea dan Congo yang pada ketika itu sedang menangani virus Ebola.

Comments are closed.