MAYAT LELAKI DIJUMPAI DI PANTAI SARINA, KUNAK

Sekumpulan empat sahabat yang baru selesai memancing gempar apabila menemukan mayat seorang lelaki terapung di perairan Pantai Sarina petang semalam.
0
4438

KUNAK: Sekumpulan empat sahabat yang baru selesai memancing gempar apabila menemukan mayat seorang lelaki terapung di perairan Pantai Sarina petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, empat lelaki tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang sebaik selesai memancing dengan menaiki sebuah perahu apabila terjumpa dengan mayat tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharun Md. Tahir berkata, mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu merupakan seorang lelaki yang berumur antara 30-an hingga 40-an.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa yang berbaju T warna hitam dan berseluar jeans pendek biru, ditemukan dengan tiga kesan luka di belakang kepalanya.

“Namun, hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan dalaman dialami mangsa dan luka di belakang kepala itu mungkin disebabkan  gigitan hidupan laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, doktor turut mengesahkan mangsa mati akibat lemas dalam tempoh satu atau dua hari lalu berdasarkan keadaan kuku mangsa yang belum tercabut.

“Ada kemungkinan mangsa adalah warga asing berdasarkan tiada kesan suntikan BCG ditemukan pada lengannya.

“Polis tidak menerima sebarang aduan berkaitan kehilangan orang serta mayat mangsa masih belum dituntut oleh waris,” katanya yang memaklumkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Leave a reply