MEMBURU DI HUTAN SIMPANAN GUNUNG RARA, EMPAT PEMBURU HARAM DITAHAN

Empat pemburu haram ditahan ketika sedang melakukan aktiviti pemburuan hidupan liar di kawasan Hutan Simpan Gurung Rara, Tawau, di sini Rabu lalu
0
439

TAWAU: Empat pemburu haram ditahan ketika sedang melakukan aktiviti pemburuan hidupan liar di kawasan Hutan Simpan Gurung Rara, Tawau, di sini Rabu lalu

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini berkata, empat lelaki itu diberkas oleh Pasukan Khas Jabatan Perhutanan Sabah (Protect) ketika sedang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

MASHOR

“Hasil pemeriksaan pasukan Protect mendapati terdapat seekor rusa yang telah mati berada di bahagian belakang kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut menemukan selaras senapang patah buatan sendiri (bekakuk) dan beberapa butir peluru.

“Keempat-empat suspek yang ditahan dibawa ke balai polis Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mashor berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Enakmen Perlindungan Hidupan Liar 1997 atas kesalahan memburu binatang tanpa permit yang sah dan suspek juga akan disiasat di bawah Akta Senjata Api kerana kesalahan berkaitan senjata api buatan sendiri.

Menurutnya, operasi itu akan dijalankan secara berterusan oleh Jabatan Perhutanan Sabah bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang yang berlaku di kawasan hutan simpan.

“Memburu adalah dilarang dalam kawasan hutan simpan, malah Jabatan Hidupan Liar juga tidak mengeluarkan sebarang permit memburu dalam kawasan hutan simpan.

“Hidupan liar adalah sebahagian daripada khazanah negara dan ia perlu dilindungi terutama hidupan yang berada dalam kawasan hutan simpan.

“Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam kegiatan memburu secara haram terutama dalam kawasan hutan simpan kerana pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yan melakukan kesalahan melanggar undang-undang perhutanan yang ada,” jelasnya.

Leave a reply