Mesyuarat Bersatu: Tun M dijangka hadir malam ini

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir ke mesyuarat berkenaan kerana berdasarkan kenyataan media, baru-baru ini, Ahli Parlimen Langkawi itu menganggap pemecatannya tidak sah dan masih ahli parti.
0
45

“SAYA ada menerima jemputan, tetapi masih mempertimbangkan untuk hadir atau tidak, malam ini.

“Pada saya, mesyuarat malam ini adalah tidak sah, (kerana) ada yang masih ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak dijemput,” kata bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Marzuki Yahya.

Marzuki mendakwa Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih mementingkan pendirian berbanding perlembagaan parti berkenaan.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir ke mesyuarat berkenaan kerana berdasarkan kenyataan media, baru-baru ini, Ahli Parlimen Langkawi itu menganggap pemecatannya tidak sah dan masih ahli parti.

“Setakat ini saya belum putuskan sama ada akan hadir atau tidak,” katanya.

Mesyuarat MPT Bersatu, malam ini dijangka akan memuktamadkan kedudukan Dr Mahathir bersama empat lagi ahli parlimen yang dilucut keahlian secara automatik, minggu lalu.

Ia akan mengakhiri kemelut parti itu yang menyaksikan episod singkir menyingkir serta penafian Dr Mahathir bahawa mereka bukan lagi ahli parti susulan surat pemecatan yang dikeluarkan 28 Mei lalu.

Difahamkan, mereka yang menerima jemputan termasuk Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Ketua Srikandi, Bendahari serta Ahli MPT lain.

Comments are closed.