MPT PERLUAS KAWASAN KUTIPAN CUKAI PINTU UNTUK KERJA PEMBERSIHAN SAMPAH SARAP

Majlis Perbandaran Tawau (MPT) akan memperluaskan kawasan perkadaran di daerah ini, dalam usaha menyelaraskan sistem pembersihan dan pengutipan sampah.
0
289

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) akan memperluaskan kawasan perkadaran di daerah ini, dalam usaha menyelaraskan sistem pembersihan dan pengutipan sampah.

Pengurus Harta Benda MPT, Lily Medriana Serigar berkata, ia penting dalam mengatasi masalah pembiakan nyamuk Aedes seterusnya mengekang peningkatan denggi di sini.

“Cadangan perluasan kawasan perkadaran ini akan membabitkan beberapa kawasan di Tawau seperti Tanjung Batu yang memerlukan sistem pengurusan sampah teratur.

“Bagaimanapun, kawasan perkadaran ini akan membabitkan pungutan cukai pintu kepada penduduk,” katanya ketika ditemui dalam Program Kick Denggi Peringkat Daerah Tawau, di Dewan Masyarakat, di sini, hari ini.

Tambah Lily, sebelum ini, MPT mengutamakan pungutan sampah di kawasan pembayar cukai.

“Orang ramai perlu menyedari pengurusan sampah dan sisa pepejal ini akan menelan peruntukan perbelanjaan yang tinggi.

“Justeru, MPT mengambil inisiatif memperluaskan kawasan perkadaran bagi memastikan pengurusan sampah dilakukan secara menyeluruh di kawasan terbabit,” katanya.

Selain itu, Lily berkata, MPT turut memperuntukkan RM34,000 untuk kerja pembaikan tong sampah yang rosak di seluruh daerah, tahun ini.

“Bagaimanapun, jumlah itu masih terhad kerana masih banyak tempat yang memerlukan sistem tong sampah.

“Saya berharap persatuan penduduk di kawasan tertentu mengambil inisiatif berkongsi wang bagi membeli tong sampah besar, sekali gus memudahkan mereka membuang sampah dengan lebih teratur,” katanya.

Menurut Lily, penduduk boleh mengemukakan permohonan kutipan sampah di kawasan mereka kepada MPT.

DR G NAVINDRAN

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Tawau, Dr G Navindran berkata, sebanyak 732 kes denggi dilaporkan berlaku di Tawau sepanjang minggu ke-28, tahun ini.

“Namun begitu, tiada kematian akibat penyakit berkenaan dilaporkan berlaku tahun ini.

“Saya berharap, kesedaran awam dapat dipertingkatkan termasuk membabitkan pembuangan sampah sarap yang ada,” katanya

Navindran berkata, sampah sarap sepatutnya diletakkan dalam plastik dan diikat dengan baik sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

“Ini kerana, jika dibiarkan tidak terikat atau dimasukkan ke dalam plastik sebelum dibuang, ia boleh menyebabkan takungan air berlaku.

“Situasi itu juga sebenarnya menyumbang kepada berlakukan kes denggi di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, beberapa kawasan di sini dikenal pasti mencatatkan bilangan kes denggi yang tinggi termasuk Taman Semarak, Taman Ria, Taman Wawasan, Batu 2 dan Batu 4.

Leave a reply