Mukhriz umum kedudukannya esok

Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka mengumumkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah esok
0
66

Kedah: Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka mengumumkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah pada sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, pagi esok.

Beliau dikatakan bakal membuat pengumuman mengenai kedudukan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selain jawatannya sebagai Menteri Besar.

Tinjauan di Wisma Darul Aman hari ini, mendapati persiapan bagi majlis angkat sumpah Menteri Besar baharu giat dilakukan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.

Difahamkan, majlis angkat sumpah akan diadakan pada sebelah petang sebelum satu sidang media akan diadakan di Kompleks PAS Kedah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka dilantik sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada BERSATU.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (empat), UMNO (dua) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan BEBAS (dua).

Comments are closed.